Friday, October 31, 2008

Koleksi Saya #6 & #7


BAKHTIAR NAIM JAAFAR
"Jeri In Dream"
Mixed media
Dimensions Variable
2006




Baru jam 12.30 pagi tapi mataku sudah nampak bantal. Ini mesti penangan pil selsema yang aku telan selepas makan malam tadi. Bukan sekadar air hidung, idea-idea bernas untuk menulis pun ikut kering (kunun). Sebelum aku tidur awal malam ini, elok juga aku pamerkan dua karya berbentuk bantal.

Sepasang bantal oleh Baktiar ini aku beli semasa pameran tribut Jeri Azhari di BSLN. Aku dan Hamir Soib (Gudang) dengan rakan-rakan di BSLN berjaya lakukan tribut itu kira-kira dua minggu setelah pemergian arwah. Sekitar 60 pelukis mengambil bahagian. Perasmian pameran yang paling berjaya dan best aku rasa, kerana begitu ramai yang datang walau malam itu di kaca tv ada siaran langsung perkahwinan siti nurhaliza & datuk K!


AZLIZA AYUB
"A Reminder"
48 x 78cm
Cotton & polyester pillow
2008

Lagi satu karya bantal..wah pelik betul 'art' ni bukan? Aku beli karya ini kerana dia ada perkaitan dengan instalasi yang dibuat Azliza Ayub di pameran Out of the Mould. Ianya menggunakan sepohon merah sebagai metafora dunia wanita dan motherhood. GOOD NITE!

Monday, October 27, 2008

Halwa Telinga baru

Hari ini aku decide untuk rileks. Berehat satu hari sebelum sambung menghabiskan segala kerja-kerja penulisan yang masih aku berhutang dengan beberapa pihak. Setelah selesai SMS teman-teman berbangsa India untuk ucap selamat deepavali pagi tadi, aku terus pasang 3 buah cd lagu. Ulang dengar sampai boleh ikut beberapa buah lagu yang catchy.

YUNA


Waw!. Perempuan yang ini suaranya bak buluh perindu. Aku pertama kali melihat dia bermain gitar dan menyanyi secara akustik di KL singsong fest di KLPAC tahun ini. Lunak, magical, boleh cair lah dibuatnya. Suara dan gaya tarikannya ingatkan aku pada Norah Jones dan Sinead o connor. Susah nak jumpa muslimah yang pandai main gitar, menyanyi dan ada band lagi. Tabiklah sister! Album terbitan sendiri kali ini yang bagusnya terdapat sebuah lagu Melayu. Yuna selama ini menyanyi lagu-lagu Inggeris yang semuanya dicipta sendiri. Boleh akses informasi di www.myspace.com/yunaroomrecords

FATHULLISTIWA - PELAN B


Sesiapa terlibat dalam dunia muzik kalau tak kenal Fathullah Luqman Yusuf ni, minta maaf anda tidak boleh dianggap 'TRUE'. Fathul yang diturunkan di atas mukabumi sebagai spesis manusia yang sangat unik dan talented ini, bukan saja seorang genius dalam penciptaan bunyi-bunyian (dari bunyi melodius kepada yang kronik)malah punyai passion yang membuak-buak sebagai pelukis. Lagu-lagu beliau sudah digunakan sebagai soundtrack filem - contohnya dalam filem Cuci dan Kami (siri tv) dan sebelum itu menghasilkan lagu-lagu untuk kumpulan Flop Poppy dan beberapa penyanyi lain.

Dalam Pelan B, Fathul turut mengundang beberapa band lain iaitu Redemption, Nervedneless, Daily Flavoured Tunes, Dish, Founder dan Arus untuk mengisi ruang album ini. Sementara penyanyi wanita jemputan untuk menyanyikan lagu beliau adalah Ira dan Puteri. Lagu "Masih Pedih" versi Ira agak funk berbanding versi Fathul yang dark dalam album Romantikarat dulu. Aku suka keduanya.

Masih pedih diri ini
tuk menerima kenyataan pasti
seringkali ku merenung
rindu yang membeku..



DEWANGGA SAKTI -MABOK KEPAYANG


Kumpulan ini memang terkenal membuat persembahan lagu-lagu tradisional. Aku sudah beberapa kali melihat persembahan mereka tapi tak pernah pula tahu ada album. Mungkin ini yang pertama. Lagu-lagu yang mengisi album Mabok Kepayang ini menyelitkan elemen-elemen satira. Contohnya lagu instrumental "Belayar ke Pulau Jauh (untuk mencipta rekod dunia)" berlandaskan sinopsis tersebut :
Rakyat Malaysia suka mencipta rekod! Membuat donat atau kek berbentuk Menara Berkembar Petronas, bendera terpanjang dan bermacam-macam rekod lain. Bolehkah kegilaan ini membentu perkembangan minda dan intelek rakyat Malaysia?

Sebuah lagi lagu bertajuk "Tertinggal Kapal Angkasa" mengkisahkan:
Latar masa depan. Pak Abdul telah membelanjakan wang yang banyak untuk menempah tiket kapal angkasa untuk ke stesen angkasa lepas. Pada hari yang dijadualkan, dia telah tertidur dan tertinggal penerbangan tersebut. Pak Abdul pulang ke rumah dan terus tidur sepanjang hayatnya.

Hehehe...

OHPENING..

Selepas Raya ini aku rasakan KL bagai terlalu senak dengan begitu banyak pembukaan pameran. Berentetan. Hampir setiap hari ada opening. Sesetengahnya disekalikan dengan rumah terbuka raya. Nasib baiklah aku tak tinggal di KL. Kalau tidak boleh jadi gila dibuatnya. Kalau tak pergi nanti ada pula yang berasa hati. Kalau pergi selalu orang pun muak tengok muka kita. Jadi aku bersyukurlah kerana keluarga sudah sebulat suara nak bermastautin di Ipoh aje. At least sementara tunggu anak-anak membesar. Tahu tak kehidupan aku di Ipoh ini sungguh menyegarkan. Penuh solace. Placid abis. Tenang. Masuk aje kota berlumpur itu..aduhhh terus degup jantung jadi kencang. Biji mata menerawang. Urat keting bagai diregang-regang..plastik. Aku kadang-kadang senyum plastik kerana sampai tahap tepu bicara pasal seni di opening pameran. Sibuk melayan orang dari melayan karya-karya di dinding. Sebab itu, bila berkesempatan, aku akan jenguk pameran untuk kali kedua. Tanpa gangguan hingarbingar celoteh dan gosip manusia, tanpa selingan muzik bingit dan tanpa sibuk mengumpat tuan rumah tentang hidangan dan lauk yang tak cukup masin.

Anyway, hujung minggu baru ni aku gagahkan juga ke pembukaan dua pameran. POP FICTION oleh Amir Zainorin, Bob Azmin & Jeri Azhari yang dikurasi oleh Badrolhisham al taliban yang macho itu.


Aku, Bob Azmin, Amir Zainorin, Badrolhisham(kurator) dan Sita (balu Jeri)

Hari berikutnya ke pembukaan ANGIN SI PAUH JANGGI Siti Zainon Ismail. Kedua-dua dilancarkan bersama penerbitan buku yang padat dengan idea-idea berlandaskan konsep karya (keluaran RA Fine Arts).

Siti Zainon, Raja Ahmad dan Datuk Zaid

Sessi impromptu Fathul, Mustapha Ibrahim, aku dan beberapa dari khalayak membaca puisi Siti Zainon berlatarbelakangkan muzik fusion makyong dan techno Fathul sudah tentu kekal dalam ingatan.:)



Bawah - Fathul naik 'syiok' baca puisi kali kedua :)
Atas - Mustapha Ibrahim (pengasas Anak Alam) pun sporting abis..

Wednesday, October 22, 2008

Detik Kreatif



Ahh.. patutlah aku susah tidur malam. Lain kali kalau nak buat bicara seni atau dialog atau apa-apa yang guna kreativiti, setkan pada jam 10.04 malam. baru otak segar bugar untuk berwacana dan merekacipta agaknya. Tapi para terakhir tu sensasi habis. Segelintir sajalah kot..hehe

Koleksi Saya #5



AHMAD FUAD OSMAN
"The Victims"
Oil on canvas
75 x 97cm
1995






Hohoho..mentang-mentanglah Fuad baru menang award, nak menayanglah sikit satu-satunya karya beliau dalam himpunan aku. Karya ini pernah dipamerkan untuk pameran amal KOSOVO tak silapnya pada tahun 1999 anjuran YKP di DBP. Aku bodek beli dengan Fuad (bayar harga sobat hehe) setelah begitu lama tak dituntut dari YKP. Mungkin orang takut nak beli..heavy metal sangat rupanya :)

Tuesday, October 21, 2008

MALAYSIA BOLEH!





Ahmad Fuad sewaktu program Gebang Seni YKP, 2006








AHMAD FUAD OSMAN, sang duta MRCB yang tampan dan masih bujang trang tang tang dapat anugerah lagi. Kali ini dari Singapura. Memang ini tahun Fuad nampaknya. Tahniah!!!

( ikuti laporan peristiwa oleh BERNAMA di sentapmalaysia.blogspot.com )

Sunday, October 19, 2008

Koleksi Saya #4



RAJA SHAHRIMAN RAJA AZIDDIN
"Siri Nafas M9"
Besi
20.5 x 6 x 9cm
2003


Karya ini semestinya salah sebuah koleksi yang paling aku sayang. (Mujur tak diambil perompak dan besinya dijual timbang baru-baru ini!)

Shahriman atau lebih mesra aku panggil Abang Man telah membuat 'surprise' (setelah aku selesai menyelenggarakan pameran solonya pada tahun 2004 di Balai Seni Lukis Negara) dengan menghadiahkan secara ikhlas salah satu arca dari siri itu. Aku betul-betul terharu dan gembira tahap dewa dibuatnya. Yelah, nak beli memang tak mampu..

Pada aku, Shahriman merupakan seorang seniman yang betul-betul dedikasi dengan pengkaryaannya. Walaupun tinggal nun jauh di Kuala Kangsar dan jauh dari kebingitan seni, beliau mampu terus berkarya dengan tenang tanpa terpengaruh dengan trend mahu pun kehendak pasaran seni. Aku tak sabar menunggu solo seterusnya pada tahun hadapan. Karya-karya yang lebih besar dari human figure akan mengisi pameran itu nanti katanya..Wow!



Abang Man dan bonda tercinta Raja Johanis dengan karya bentuk baru yang dipamer di galeri Pelita Hati pada tahun ini.









Di bawah adalah respons Fathi Aris di malaysiakini.com terhadap esei kuratorial aku untuk pameran Nafas. Mandiiii...

‘NAFAS’ : Berhala Tanpa Kepala
Fathi Aris Omar | Nov 29, 04 2:05pm – Malaysiakini.com

Ada sesuatu yang ‘ganjil’ dalam pengucapan seni Raja Shahriman Raja Aziddin. Begitu juga kurator pameran seni arca ‘Nafas’, Nur Hanim Mohamed Khairuddin. Teks kurator dalam katalog dengan sejumlah foto arca itu – dengan latar pengarca – berada dalam simpang paradoks.

Kemelut Shahriman bukan baru dan kupasan kurator pula hanya menegaskan apa yang ada. Hal ini masih boleh dibahaskan, maksudnya isu Islam menentang penghasilan arca yang menyerupai ‘imej’ kejadian Tuhan, sama ada manusia (anthropomorphic) atau haiwan (zoomorphic).

Tetapi, selepas merenung kembali rencana pengiring pameran itu, ‘Nafas Asyik: Hakikat insan mabuk seni’, saya dapati tidak ada kekuatan yang fundamental bersamanya. Tidak ada yang ‘berat’ cuba dipermasalahkan kecuali berat besi-besi itu sendiri; tidak pula mengasyikkan. Mungkin saya silap.

Kelihatan wacana Nur Hanim, tidak sejajar dengan karya Raja Shahriman. Isu pokok yang cuba dibahaskan oleh kurator – dan mungkin hal yang sama berlegar dalam fikiran pengarca – tidak tertuang dalam karya.

Maksud saya, apakah definisi ‘berhala’ atau patung yang menyerupai kejadian Tuhan yang dilarang oleh Islam? Persoalan ini yang menghantui Raja Shahriman selepas terpengaruh dengan semangat anti-patung atau konsep ikonoklasme Melayu-Islam sekarang.

Tetapi pengarca mengambil jalan mudah, tidak mahu mendekati atau memecahkan persoalan ini, sebaliknya membuangnya jauh-jauh. Caranya: buang kepala si berhala!

Misalkan begini: patung-patung dari kuil dibuang kepalanya, diletakkan pula di satu ruang pameran lain (bukan lagi di kuil), maka apakah layak ‘diterima’ dalam perumusan ikonoklasme Islam di negara kita saat ini?

MASALAH FALSAFAH

Kata Nur Hanim, “ikonoklasme bukan membawa konotasi harfiah pemusnahan’ (objek patung). Namun menjurus kepada proses peralihan konteks (recontextualization) dan pencacatan rupa (defacement). Atur letak imej-imej ‘berhala’ diubah suai agar lupus ‘kesuciannya’; imej-imej dicacatkan bahagian muka terutama mata dan hidung supaya hilang ruh yang bersemadi bersamanya.” (muka surat 7; dan nadanya diulang di bahagian kesimpulan pada halaman 12).

Perenggan ini cukup bermasalah dari segi falsafah dan juga zahir pengkaryaan Raja Shahriman. Tidak ada proses ‘menyelesaikan’ masalah kepala atau muka (seperti didakwa Nur Hanim) pada semua patung pengarca ini kerana semuanya tidak mempunyai kepala.

Jika ‘ada’ (lihat arca-arca No. 1, 8, 14 dan 20), ia diwakilkan dengan sepotong besi tajam yang menakutkan. Kelihatannya seperti ‘pucuk api’ (simbolisme ‘iblis’ dalam al-Quran), bukan kepala atau lidah (atau mulut, satu lagi ruang bernafas).

Dalam bahasa mudah, kepala arca Raja Shahriman dibuang bagi menjadikannya ‘halal’ di sisi sosio-agama (dan mungkin juga di hatinya) kerana takut pada ikonoklasme Melayu saat ini. Tetapi bagaimana semua patung ini boleh ‘bernafas’ tanpa kepala? Ekspresi ‘nafasnya’ (tema pameran) bagaimana dan di mana? Pada gerakkah, pada riak mukakah atau pada hidungkah?

Setahu saya, hanya lipas (atau serangga) yang mempunyai liang-liang pernafasan di sisi badannya, bukan di kepala. Nafas ini, kata kurator, simbol ruh yang menjadi asas pertikaian budaya ikonoklasme Islam, kononnya ia pancaran ‘tauhid’.

Saya nampak Nur Hanim sendiri tidak senang dengan kata ‘berhala’ atau konsepsi ikonoklasme seumpama itu. Sebabnya, dalam tulisan beliau, kata ‘berhala’ diletakkan dalam tanda kutip (quotation marks) semacam ‘bantahan senyap’.

KEPALA ARCA

Tetapi saya menduga, Raja Shahriman memang benar-benar percaya bahawa membuang kepala itu akan menyelamatkan arcanya daripada digelar ‘berhala’; sebab itu kepala arca-arcanya dibuang sama sekali! Berbeza arcanya dalam pameran ‘Gerak Tempur’ (1995) atau ‘Semangat Besi’ (2001) yang masih mempunyai elemen kepala.

Tetapi persoalannya, walaupun kita bernafas melalui hidung (di kepala), tetapi ruh tidak pernah dengan pasti ditentukan di kepala. Ertinya, kepala bukan tempat ruh. Dalam pandangan Islam, di manakah letaknya ruh?

Kecuali ‘ruh’ itu diperkecilkan tafsirannya secara reduktif – proses biokimia di dalam otak. Pada sisi kajian sains mutakhir, kematian otak menjadi takrif kematian seseorang. Kita tahu otak memerlukan oksigen. Nafas itu pula, pada pandangan sains, keluar-masuk karbon dioksida dan oksigen.

Tetapi ruh bukannya oksigen; bukan juga proses biokimia di dalam otak. Ruh manusia, setakat ini, tidak tertakrifkan kerana (dalam paradigma al-Quran) ia jelmaan daripada hembusan ruh Allah (kepada Adam). Sedangkan zat Tuhan pula bukan sahaja misteri tetapi dilarang daripada dikaji dan dibicarakan.

Ada pula larangan daripada bertanya asal muasal kejadian ruh manusia, kerana dikaitkan dengan “urusan Tuhan-mu” (dialog Allah dengan Muhammad seperti diceritakan dalam al-Quran). Oleh itu, saya duga, falsafah Islam tradisi (seperti anutan Raja Shahriman, mungkin) tidak dapat menerima pandangan empirikal yang reduktionistik ini. Hal sedemikian hanya usaha penurunan darjat intelektual falsafah seni kepada nisbah saintisme seni.

Pandangan seumpama ini hanya layak dalam perspektif ‘pascamodenisme’ sahaja – maksudnya perspektif yang membenarkan campur-aduk wacana yang tidak berhala (hala di sini maksudnya ‘arah’). Sebab itu, sukar hendak dikatakan pameran arca ‘Nafas’ sebagai ekspresi ‘seni Islam’ (seperti ideologi yang dianut sekarang).

Malah tema ‘Nafas’ itu suatu rumusan yang masih terawang-awang dan mengada-ngada. Elok jika digubah temanya dengan kata-kata lain, misalnya siri ‘berhala logam tanpa kepala’. Bagi Nur Hanim pula, isu ini paling asasi dalam pameran Raja Shahriman setelah terpaksa bergelut dengan “dogma anikonisme” sekian lama.

LUAHAN KREATIF SENIMAN

Kata kurator ini, di bahagian pengenalan (dan nada yang sama di muka surat 13), “menzahirkan ‘kelegaan’ beliau [pengarca] kerana barang kali akhirnya sudah ditemui titik indah perseimbangan anikonisme-ikonoklasme di dalam penerokaannya [Raja Shahriman] mengenal hakikat insan.”

Tetapi seperti saya cuba tunjukkan tadi, pengarca tidak serius mendepaninya – soal pencacatan muka seperti cuba didakwa oleh kurator. Sebaliknya, pengarca lebih rela nafas – simbol hidup dan kemuliaan insan itu – itu dizahirkan melalui gerak-gerak anggota badan yang ‘rendah’, yang kurang mulia, seperti kaki, tangan atau celah kangkang.

Bahkan banyak juga arcanya (No. 21 hingga 30) yang ‘tidak bernafas’ sebab tidak boleh berdiri sendiri (dan harus guna tapak sokongan)! Bukankah ini mendekati imej seorang pesakit yang vegetative di perbaringan? Tetapi jika ia sedang terminal, geraknya tidak wajar dalam posisi badan yang canggih lagi rancak lagak seorang pahlawan pula.

Namun begitu, saya pandang tinggi wacana yang cuba digeluti Raja Shahriman sejak dulu. Wacana ini bukan persoalan peribadi beliau tetapi sejenis kekangan ketara bagi luahan kreatif seniman kita. Jarang dapat dilihat pergelutan idea sepenting ini dijadikan subjek pengolahan karya seni. Di satu sisi, dia telah cuba menawarkan jawapan seperti tanggapan Nur Hanim tadi. Tetapi masih simplistik dan harus diperdebatkan lagi oleh seniman-seniman Melayu-Islam.

Setidak-tidaknya, pada sisi lain, wacana-wacana baru sangat diperlukan bagi menentang dogmatisme aliran berfikir agama yang ‘fekah-istik’, dangkal dan fundamentalistik. Konsepsi Islam di negara kita cenderung formalistik atau harfiah, satu kecenderungan yang ‘berbahaya’ (pada hemat saya) untuk perkembangan akal sihat. Juga, kecenderungan mengabaikan teori-teori seni budaya yang sedang rancak berkembang di dunia antarabangsa.

Ambil contoh, penggunaan teori semiotika dalam kajian budaya bersama ruang-ruang tindihnya dengan disiplin-disiplin epistemologi, teori komunikasi, antropologi budaya atau teori maklumat. Kajian semiotika sosial membolehkan kita melihat dunia dari perspektif ‘tanda’ yang lebih dinamis dan sebagai kaedah analisa yang lebih mendalam, cair lagi perinci.

Atau mudah disebut begini: proses bagaimana manusia merumuskan makna (di dalam diri), mengeluarkan makna (kepada sasaran komunikasi) dan mengedarkan makna (secara kolektif). Hakikatnya manusia tidak bergantung pada ‘tanda’ – seperti muzik pop, patung atau jilbab – secara lapisan luar semata-mata tetapi proses pemaknaan (signification) diri dalam semiosphere.

FALSAFAH ILMU EROPAH

Susun lapis makna, kata Roland Barthes, melibatkan mitos atau ideologi – suatu proses melumpuhkan minda dengan kebiasaan-kebiasaan sosial agar diterima ramai tanpa dipertikaikan. Seolah-olah makna muncul secara ‘semula jadi’; bukannya rekaan manusia dari kelompok pengawal yang dominan.

Memang objek atau ‘tanda’ itu penting dan ada hubungan akrab dengan proses pemaknaan. Tetapi akhirnya ‘kandungan kod-kod budaya’ yang menguasai diri manusia. Objek boleh terpisah daripada kod dan makna, itu maksud saya, seperti cuba dilihat dalam wacana aliran absurdisme (polemik subjek-objek warisan dualisme dalam falsafah ilmu Eropah).

Maksud saya begini, patung hanya boleh dianggap ‘berhala’ dalam budaya yang memahami objek itu sebagai sembahan pengabdian dan digunakan pula untuk upacara agama. Dalam wacana Arab pra-Islam, berhala tidak dianggap Tuhan sepenuhnya. Berhala juga dianggap zulfa, ‘orang tengah’, antara manusia dengan Tuhan yang Esa.

Wacana ini, disebut dalam al-Quran dan hadis, difahami di zaman Nabi dengan mengaitkan kelompok paderi Kristian (yang mengubah hukum-hakam Tuhan sewenang-wenangnya) sebagai berlagak ‘berhala’. Martin Luther di Jerman beratus-ratus tahun kemudian akhirnya memprotes unsur-unsur kepaderian ini (yang telah diungkapkan di zaman Nabi) dan lahirlah mazhab Protestan.

Dalam budaya animisme kita, pokok besar dan menyeramkan, busut anai-anai atau ‘hantu laut’ (yang mendorong ‘puja pantai’) mungkin lebih besar kesan keberhalaannya (dan jika begitu, layak dibasmikan?) berbanding arca Raja Shahriman (walau kepalanya dikekalkan).

Malah dalam konteks semasa, footage pemimpin politik kita di televisyen yang diulang-ulang bersama muzik dan lirik bertulis dengan nada memuja boleh diangkat sebagai ‘berhala’ tersendiri. ‘Berhala’ ini jauh lebih kuat kesan ‘penyembahannya’ berbanding arca-arca dalam siri ‘Nafas’.

Tetapi ‘berhala’ pemimpin politik negara kita tidak akan dimaknai oleh semua orang. Imej-imej ini diberhalai oleh orang yang menyanjung-yanjung kekuasan (kudrat) pemimpin politik, menyerah diri pada kawalan mutlak kuasa mereka, takut dan bergantung nasib (untung dan celaka) di tangan mereka sahaja. Ia boleh mencapai tahap syirk atau ‘menduakan Tuhan’.

IDEOLOGI DAN KEKUASAAN

Maksud saya, signification itu sangat penting dalam debat sama ada berhala atau tidaknya sesuatu objek atau imej. Keberhalaan bukanlah objek tetapi inti maknanya. Jika makna hubungan itu sebagai pengabdian atau ‘ubudiyyah, apa sahaja objek, imej, ideologi atau kekuasaan akan mencapai taraf ‘berhala’.

Dulu, berhala pernah wujud dalam bentuk (saiz) duit syiling. Sebab itu, ketika diperkenalkan mata wang syiling dalam empayar Islam, ada bantahan dari ulama! Peranan berhala kecil ini seperti tangkal (azimat?) dalam budaya kita.

Keberhalaan ditandai bukan hanya keindahan, kasih dan kekaguman. Keberhalaan hakiki terletak pada kebergantungan nasib, ketakutan pada kuasanya dan penyerahan (ketundukan) diri sehingga mengubah gerak, termasuk gerak hati.

Di sini, hasil seni hanya menimbulkan rasa indah (estetika) dan kagum pada objek yang diciptakan (maksudnya, hasil kerja) tetapi tidak melibatkan rasa kebergantungan nasib, ketakutan pada kuasanya dan penyerahan (ketundukan) jiwa akibat kebergantungan dan rasa takut itu.

Kuasa politik dan kuasa ekonomi lebih kuat ‘kesan keberhalaannya’ berbanding kuasa seni. Oleh itu, objek seni atau arca patung (walau dengan kepala) bukanlah dengan sendirinya sejenis berhala.

Cuma, akibat kedangkalan kita sendiri dalam asas-asas pemikiran agama dan juga teori-teori budaya kontemporari, semiosfera kita saat ini masih melihat patung (kecuali di tangan kanak-kanak atau yang dipakaikan baju di kompleks membeli-belah) sebagai ‘meniru ciptaan Tuhan’ atau ‘berhala’. Inti semiosfera ini boleh diubah jika wacana Islam kita berjaya meminjam kajian-kajian budaya kontemporari.

NOTA: Tulisan Nur Hanim boleh dilihat dalam katalog Nafas: Seni Arca Raja Shahriman terbitan Balai Seni Lukis Negara (Jun, 2004).

Global Peace Festival

Aku dan sekumpulan pelukis selesai membuat lukisan amal untuk Global Peace Festival tadi siang (18 Oktober 08) di Stadium Putra Bukit Jalil. Kami putuskan tulis perkataan 'PEACE' saja. Tak payah nak berkonsep berat-berat. Lepas itu proses conteng menconteng dan kaler mengaler pun bermula sehingga lebih kurang 4 jam. Antara yang terlibat ialah Kamal Sabran (tuan direktornya), Fathullah Luqman Yusuf (superstar), Buden, Muid Latif, Fadhly Sabran dan gengnya (maaf i did not catch their names).

Difahamkan lukisan berukuran 10 meter panjang ni akan dirasmikan esok oleh Angkasawan Negara kita Sheikh Muzaffar sebagai salah satu acara Global Peace Festival. Tak tahulah mungkin nak dibawa ke bulan ke pulak selepas ini..

Sedih juga lihat pameran lukisan di sana tadi. Walaupun bangunan dan spacenya cantik, karya-karya pelukis (mungkin dari persatuan pelukis) banyak yang tak digantung dengan sempurna. Sekadar sandar-sandar pada dinding. Yang ditampal dengan tape habis bertaburan. Aku dan Fathul dah saling memandang dan bak ada telepati kami sempat berbicara perkara yang sama. "Kalaulah kita ni jahat, best juga kalau seludup masuk beg ni.."








Selepas break sekejap mengalas perut, figura wanita fathul sudah 'berbuah' dikerjakan budak-budak tu..PEACE!!

Friday, October 17, 2008

Hari Ini Aku Nak Jadi...



Mudah sungguh nak menipu zaman sekarang ni! Dalam beberapa saat, aku boleh memilih untuk menjadi watak macam-macam. Pergilah jenguk program ni http://www.yearbookyourself.com/. Ini juga satu bentuk seni visual. Dijamin mesti ketawa sampai tergolek-golek nanti :)

Koleksi Saya #2 & #3



NOOR AZIZAN RAHMAN PAIMAN aka PAIMAN
"Shahnon Ahmad"
Ink on paper
2005





ROSLISHAM ISMAIL aka ISE
"My New Toy"
Ink on paper
2004










Wah. Setelah dengan syok sendiri merasmikan pameran online semalam,aku bertambah seronok pula buat inventori karya hari ini. Dua karya dari pelukis kontemporari yang sudah membina nama di luar negara ini aku demand sebagai hadiah (hehe) pada 2005 seusai mengkurasikan pameran mereka "Light Weight Heavy Weight" di Galeri Seni MAYA, Kuala Lumpur. Pameran dilancarkan oleh kolektor terkemuka Fatimah Sulaiman (isterinya Pakhruddin Sulaiman).

Walaupun mereka sinonim dengan lukisan-lukisan yang nampak mudah dan grafikal, jangan terkejut kalau melihat karya instalasi dan media baru mereka yang sarat dengan isu-isu politikal dan kritik semasa.

Thursday, October 16, 2008

KOLEKSI SAYA #1

Pameran “KOLEKSI SAYA : Rahime Harun" akan dijalankan di Balai Seni Lukis Negara dari 6 November – 30 Disember 2008. Dengar khabar, sekitar 250 karya-karya seni himpunan Allahyarham Rahime akan dipamerkan. Antara pelukis dalam senarai koleksi beliau adalah seperti Latiff Mohidin, Joseph Tan, Syed Ahmad Jamal, Awang Damit, Nik Zainal Abidin, Ahmad Zakii Anwar, Mansor Ghazalli, Bayu Utomo, Fuad Osman ..and the list goes on..

Siri pameran ”KOLEKSI SAYA” sebenarnya telah mula dijalankan sejak tahun 70an lagi dengan menampilkan himpunan dari kolektor-kolektor penting seperti Ismail Zain, Senator Kamarul Ariffin, Tan Sri Datuk Haji Mubin Sheppard dan Zain Azahari.

Aku sokong pameran sebegini. Sekurang-kurangnya khalayak dapat berkongsi menikmati karya-karya penting simpanan para kolektor. Apabila karya-karya dibeli oleh individu, keberangkalian untuk melihatnya kembali adalah sangat kecil berbanding jika dibeli institusi besar kerana kebanyakan penghimpun tidak gemar meminjamkan koleksi mereka atas dasar keselamatan karya. Ramai kolektor yang giat menghimpun tetapi secara diam-diam untuk kepuasan peribadi. Tetapi ada juga spesis kolektor yang mencanang sana sini bahawa hanya dia seorang ajelah yang punya koleksi terbaik. Piirahh..

Sepanjang keterlibatan aku dalam seni, aku telah berpeluang mendekati beberapa kolektor yang begitu passionate dalam menghimpun karya-karya pelukis Malaysia. Mereka menghimpun berlandaskan kekuatan dan nilai kritis yang hadir pada karya, bukan sembrono diborong untuk menunjukkan keegoan sebagai kolektor. Koleksi Pakhruddin & Fatimah Sulaiman dan U-Wei Saari aku rasa sangat penting di dalam pensejarahan seni tampak Malaysia kerana mereka mempunyai karya-karya ’rare’ pelukis-pelukis kontemporari Malaysia selain memiliki daya intelektual yang tinggi untuk membahaskan sejarah serta perihal kesenian itu sendiri. Samaada mereka sudi meminjamkan koleksi mereka untuk pameran KOLEKSI SAYA nanti tidaklah aku selidik lagi. Memang senarai kolektor seni semakin bertambah sejak kebelakangan ini. Aku mungkin bolehlah masuk kategori kolektor amatur. Hanya karya pelukis-pelukis muda yang mampu aku beli pun. Selainnya samaada diperolehi dengan harga ’kawan-kawan’ atau sebagai imbuhan untuk tugasan kuratorial atau penulisan aku selama ini.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya merasmikan pameran online ”KOLEKSI SAYA : Haneem Kaydeen” dengan menampilkan karya Kamal Sabran hehe..



KAMAL SABRAN
Down Tempo series : "Orange in B major"
3 x 3 feet
Oil paint, sand & charcoal on canvas
2004

Sunday, October 12, 2008

Malique OK




Aku sebenarnya alergik dengan hiphop. Kekadang naik meluat tengok orang yang fanatik hip hop dan lagu-lagu black yang perasan nak jadi negro melayu. Kecuali lagu-lagu Eminem yang agak sarat dengan kritik sosial tu aku layan juga lah.

Bulan lepas aku beli album terbaru Malique (dari kumpulan hiphop Too Phat)semata-mata nak support usaha-usaha independen dia. Pelik juga, dah elok-elok mainstream tiba-tiba nak jadi indie pula. Myo dari Bodysurf Music terkedu bila Malique sendiri yang hantar cd untuk dijual di kedainya di Ipoh. Difahamkan album ini agak sukar didapati kerana Malique tak mahu pakai ejen. Tahu-tahu jelah bila berejen ni, komisen yang dipotong melampau-lampau. Itu belum tolak kerugian selepas cetak rompak lagi.

Ada 20 track. Sebenarnya 18 je berbunyi. 2 track lagi tajuk nya 'Diam' di awal disc 1 dan akhir disc 2. Nakal. "Mantera Beradu" yang menampilkan M.Nasir tentu ramai yang dah dengar di radio. Selain itu "Kau Yang Punya" & "OK" aku boleh ulang dengar. Ada deklamasi puisi pulak dah. Tajuknya "Layu" tentang Melayu yang layu, diakhiri dengan suara Che Det merintihkan beberapa baris 'Perjuangan Yang Belum Selesai'nya. Pada hip hoppers, album ini mungkin mengenyangkanlah. Maaf aku masih tak dapat digest genre muzik macam ni. Kepala aku masih metal :)

Saturday, October 11, 2008

Teringin

Aku tak ingin naik ke bulan sebab aku gayat. Tapi aku teringin sampai ke dasar lautan naik kapal selam RM 3.4 bilion sambil melukis makhluk-makhluk laut dan bersiul lagu Beatles -Yellow Submarine.

Apa senyum. Serius ni.

Thursday, October 9, 2008

KAMI



"Pasangan suami isteri Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak selaku pengarah bersama filem Kami The Movie (KTM) telah membawa penonton menyelami kehidupan remaja hari ini. Filem ini mengisahkan masalah sosial remaja hari ini seperti penyalahgunaan Internet, dadah, lari dari asrama, masalah keluarga ialah antara konflik yang membelenggu kehidupan generasi sekarang. KTM yang mengangkat pergolakan kehidupan remaja ini dimantapkan lagi dengan elemen persahabatan, percintaan dan cita-cita." - dari Sinema Malaysia

Aku memang berhajat nak ke panggung menonton filem ini. Masih tak sempat. Susah-susah tunggu je tayangan di tv raya tahun depan. Hehe. Dulu pernah juga aku mengikut siri ini di youtube kerana tak dan melihat di tv. Not bad. Plot yang tidak membosankan. Bukan seperti drama-drama murahan yang sengaja melengah-lengahkan masa dengan flashback, habiskan satu runut bunyi (soundtrack) baru dapat mengaitkan plot pertama dengan yang kedua. Aduss..

Sebenarnya isu yang menarik inginku sentuh di sini ialah tentang rezeki sahabat aku si professional drifter Rahmat Haron yang bertambah glam bila antologi puisi Utopia Trauma nya terselit dalam salah satu adegan filem ini. Aku dapat laporan terkini lagi sensasi, permintaan untuk buku Rahmat semakin memberansangkan di kalangan anak-anak muda sejak ia terpapar dalam KAMI (Rahmat memang sudah sedia popular dan ramai pengikut tapi KAMI menaikkan lagi sahamnya lah) Wah! Tahniah bro. Aku tumpang gembira. Nanti bila dah tuntut hak royalti dari penerbit bukunya, jangan lupa kawan-kawan di Ipoh. hi hi hi

Teringat pada cerita Ada Apa Dengan Cinta dari seberang, pop dan sastera disebatikan. Budaya mengapresiasi seni diangkat dan dihebahkan. Mengapa filem-filem kita masih terlalu jauh dari mengintimkan khalayak dengan seni dan sastera? Kalau ada pun sekadar menggunakan karya-karya seni sebagai latar dekorasi dan pemanis frame filem dan bukan untuk meneroka dan mengungkapkan ide-ide di sebaliknya. Why? Why? Why? Orang-orang yang bikin filim, please correct! correct! correct! lah..

Apa-apa pun tahniah pada Fendi & Fizzi. Kalau nak tahu, Fendi adalah salah seorang ahli kugiran punk rock Carburetor Dung yang notorious itu. Salut! ;)

Tuesday, October 7, 2008

Cemeti Kasih

Malam ini ada suatu kesayuan yang meniti di urat jantungku. Baru saja pulang dari menjenguk seorang teman yang menderita sakit misteri. Aku, Syed, Meor dan Kamal akhirnya diberi 'izin' untuk menziarah setelah hampir 5 bulan beliau hibernate dan tidak ingin berjumpa sesiapa pun. Ternyata di celah-celah tawa dan keriuhan pertemuan tadi, dia masih kelihatan bergelut dengan kesakitannya.

Aku pulang ke rumah dan terus memasang sebuah lagu yang kami pernah rakam sendiri-sendiri tahun lepas(untuk projek siaran komersial). Lirik olehnya, lagu oleh Meor. Tajuknya "Cemeti Kasih". Tiap kali aku menghayati lagu ini, boleh menitik air mata wa cakap lu..waaaaaaaa


CEMETI KASIH

Terlalu lama ku alpa
Kejar kemilau fatamorgana
Tak sedari sisa usia
Terbakar dalam nafsu sendiri

c/o
Kini ku tahu destinasiku
Getar di kalbu
Ingatkan aku
Apa sebenar nilai duniawi
Manakan sama makna hakiki

Kau cambukilah aku
Berapa kali pun aku rela
Kau cambukilah aku
Selama mana pun aku redha

Calar di kalbu aku rindu
Luka di sukma tak bererti pilu
Kerna aku telah mengerti
Cemeti itu tanda kasih MU


Repeat chorus

Lagu : Meor
Lirik: AF Hussin


Sesiapa yang teringin mendengar..nanti aku perform lah bila-bila ada kesempatan :p

Saturday, October 4, 2008

Ucaplah Alhamdulillah




Tahun ini begitu menduga aku sekeluarga. Kasihan suami yang telah mengambil cuti panjang tiba-tiba hanya dapat beraya di kampungnya satu hari saja. Para iblis dan syaitan yang dilepaskan setelah menjelangnya detik Syawal sudah mengutus para pengikutnya bertandang ke rumah kami. Petang raya, ibu dan adik-adik yang beraya di Ipoh yang menjenguk rumahku untuk memberi makan kucing-kucing dan ikan-ikan hampir pengsan melihat ‘tongkang pecah’. Kami bertolak dari Terengganu pada hari berikutnya untuk mengenalpasti barang-barang berharga yang hilang untuk menyempurnakan laporan polis. Polis yang mengambil laporan begitu lembab dan menyukarkan benda yang mudah mengikut adik lelaki aku. Kami memperolehi nombor telefon untuk melapor ketidakprofesionalan polis tapi aku fikir pejam sajalah sebelah mata. Lagipun mungkin mereka sedang stress melayan begitu banyak laporan pecah rumah. Difahamkan rumah aku pun merupakan yang kelima dipecah dalam satu malam. Dijangka pada hujung minggu setelah pulangnya umat manusia dari kampung masing-masing, lebih banyaklah laporan pecah rumah akan diterima. Kasi chance lah kan.

Tak banyak yang hilang kerana tak banyak harta pun di teratak buruk aku itu. Cuma aku hangat hati kerana terpaksa mengemas barang dan pakaian yang disepahkan. (Ini pun break sekejap dari melipat kain baju yang ditabur dari lemari). Oh ya, anak-anak begitu frust dan bengang kerana PS2 mereka turut diambil. Tapi entah mengapa aku merasa separuh gembira pula. Hehe..

Apa-apapun kami anggap ini sebahagian ujian yang diturunkan olehNya sebagai indikator supaya kami mengenang kembali segala amalan dan perbuatan selama ini mungkin. Syukur Alhamdulillah ibu dan adik tergerak untuk tidur di rumah saudara yang lain. Syukur Alhamdulillah juga kerana para perompak kita masih buta seni. Karya Ise, Fuad, Hamir, Bayu, Kamal dan Raja Shahriman langsung tak dipandangnya!