Thursday, October 27, 2011

RAJA'AH: JEMPUTAN UNTUK PARA PENGIKUT SENDAWA!

SINOPSIS:

RAJA’AH: Seni, Idea & Kreativiti Sulaiman Esa [dari 1950an – 2011] dirancang sebagai sebuah pameran persis retrospektif yang menghimpun sejumlah karya yang pernah dihasilkan oleh Sulaiman Esa, salah seorang seniman tersohor tanah air. Ia bertujuan memberi peluang kepada khalayak masa kini menyelami bukan cuma perubahan bentuk tetapi yang lebih pentingnya peralihan proses, idea dan konteks yang melatari setiap siri pengkaryaan beliau sepanjang tempoh 50 tahun.
Perkataan raja’ah bererti kemunculan semula, dan secara khusus merujuk kepada peralihan diri manusia dari yang duniawi dan eksistensial ke yang spiritual dan primordial. Dari satu segi, ia perjalanan batini yang terungkap dalam maksud potongan ayat Al-Quran “inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” – sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali. Doktrin atau aqidah raja’ah menjadi pertikaian di kalangan ramai ulama Islam, lebih-lebih lagi dari sudut perkaitannya dengan fahaman Syiah. Begitupun dalam kerangka pameran ini, perkataan raja’ah digunakan semata-mata bagi merujuk kepada kepulangan atau kembalinya Sulaiman kepada sifat-sifat fitrah dan primordial dirinya sesudah hampir setengah abad berkecimpung di lapangan kesenian, pendidikan dan kesarjanaan.

Pameran ini dibahagikan kepada empat bahagian utama, dan susunannya menggarisbawahi secara kronologi peralihan ciri-ciri ideatik dan formalistik kesenian Sulaiman Esa. Bahagian Era London: Sebelum dan Selepas mempertontonkan karya-karya terawal beliau sekitar 1950an, 1960an dan awal 1970an. Dihasilkan oleh seorang pelukis yang baru meningkat, karya-karya tersebut mendedahkan banyak pengaruh estetika Barat, dan turut menyingkap usaha-usaha awal beliau merangka gaya serta identiti seni beliau. Sementara segmen Ke Arah Hakikat Mistik pula mempersembahkan karya-karya bernada konseptual-konstruktivis beliau di dekad 1970an. Digarap secara kolaborasi dengan almarhum Redza Piyadasa, kumpulan karya yang secara umumnya berlandaskan falsafah-falsafah mistik Timur ini menampilkan percubaan dan eksperimentasi julung kali beliau menggali inti-inti estetika dan budaya tradisional Asia demi menilai semula dan justeru menolak, atas semangat pascamoden dan refleks pascakolonial, gagasan-gagasan seni moden Barat.

- Nur Hanim Khairuddin, Kurator Pameran

Ada berani???

Siri 'Waiting for Godot' oleh Sulaiman Esa