FLYING KISSES TO ALLAH
FROM MADINAH TO MAKKAH (1-13 June 2009)
Syukur Alhamdulillah, tercapai juga hajat aku menyempurnakan Umrah setelah beberapa tahun teringin melakukannya. Tak tahu bagaimana hendak jelaskan segala pengalaman di Tanah Suci dalam perkataan kerana ianya terlalu surreal, terlalu lazat, terlalu mistik. Kalau dulu aku agak skeptik dengan kenyataan jemaah yang menceritakan kenikmatan sekembali dari sana, kini setelah benar-benar menempuhi segala prosedur untuk menjadi tetamuNya barulah aku sedar tentang hakikat itu. Barulah aku mengerti tentang manis dan estetiknya lambaian kaabah yang diperkatakan ramai. Bersyukur besar aku kerana dipersudikanNya ke sana.
Dua peristiwa yang paling memberi nikmat kepuasan hingga terlerai berderainya perasaan hiba adalah ketika aku berjaya memasuki Raudhah (taman-taman syurga)di luar makam Rasulullah s.a.w di Masjid Nabawi, Madinah serta tatkala melekapkan pipi dan dada ke Kaabah (di Masjidil Haram, Makkah) setelah berpeluang sembahyang sunat di Hijri Ismail iaitu di kawasan cucur emas. Dan kemudiannya setelah berayak-ayak dengan para jemaah entah dari pelusuk mana, akhirnya dapat juga aku mengusap Hajarul Aswad sekitar dua minit. Walau teringin benar mengucupnya, atas dasar keselamatan dan takut dijatuh haram, dengan payah aku meloloskan diri dan beredar dari asakan manusia yang menyendati ruangan itu. Puas. Senyum dengan titis yang bergenang di hujung mata. Yay!!
(Foto di Makkah):
Aku ke sana - bermuhrimkan bapa saudara (adik arwah abah) - dengan memikul sebuah tanggungjawab besar membawa sekali ibu mertuaku berusia 80 tahun. Beliau melakukan segalanya sendiri, kecuali untuk kegiatan Sa’i (yang jarak berjalan tujuh pusingannya hampir 4km) aku mengupah penolak kerusi roda untuk membawanya. ‘Supergranny’ ini dapat buat lima manakala aku selamat mengerjakan tujuh kali umrah. Berbanding dengan hotel di Madinah yang hanya beberapa meter dari Masjid Nabawi, hotel di Makkah agak jauh, sekitar 1km pergi balik berjalan kaki dari Masjidil Haram. Cobaan.. Bayangkan, pada hari mengerjakan umrah dicampur empat kali waktu solat (maghrib terus tunggu ke isya’), kami akan menggunakan tenaga untuk berjalan kaki sejauh lebih kurang 10km. Wah, bila difikir semula rasa macam nak pitam pun ada. Maknanya, hanya untuk menyelesaikan hari pelaksanaan umrah saja aku sudah berjalan kaki sebanyak 70km di selimuti suhu sekitar 45 Celcius !! (Bagi kawan-kawan Muslim yang berkemampuan tapi masih belum ke sana, eloklah pergi tatkala kesihatan masih baik kerana hijrah yang ini menuntut stamina tinggi rupanya. Belum lagi mengerjakan Haji you).
Hari terakhir di Makkah, aku dan ibu mertua melepak lama sikit di tingkat satu masjid setelah selesai subuh pada jam 4.30 pagi. Kami sambung mengaji. Jumlah muslimah semakin menyusut. Tinggal beberapa orang saja. Ada yang mengaji, ada yang berzikir, ada yang tidur sementara menunggu Zuhur. Sekitar jam 8.30 pagi tiba-tiba seorang perempuan bangsa asing yang agak berumur (kelihatan seperti pakistan atau iran) muncul dari sebelah kiri dan memegang lengan aku. Berulangkali dia membacakan ayat dari satu surah sambil memandang tepat ke wajahku. Alamak..apa ni..dalam hati aku berdetak. Suspen la pulak. Aku layan saja mengangguk-angguk dan bersama-sama ibu mertua mencari mukasurat mana terletaknya surah tersebut. Setelah terjumpa, wanita tadi senyum dan berlalu pergi. Hingga ke hari ini, aku masih mengendong getar rasa ‘curious’ itu. Adakah peristiwa itu menandakan apa-apa? Adakah itu jelmaan malaikat atau jin atau penyembah matahari atau sekadar wanita tua yang ingin berkongsi ilmu? Adakah ini sebuah ilham untuk seni video terbaru atau catan agung aku nanti? Jeng..jeng..jengggg jangan biarkan diri anda diselubungi……..misteri.
Apa-apa pun, mungkin elok juga aku paparkan terjemahan ayat tersebut. Aku masih menggaru kepala yang tidak gatal. Tolong siapa-siapa pecahkan kebuntuan ini.
Terjemahan Surah Al-Shams :
Dimulai dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
1. Demi matahari dan sinar cahayanya di pagi hari;
2. Dan bulan apabila ia mengiringinya;
3. Dan siang apabila ia (semakin) terang-benderang;
4. Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap-gelita).
5. Demi langit dan pembinaannya.
6. Demi bumi dan hamparannya.
7. Demi jiwa (manusia) dan penyempurnaan (kejadiannya).
8. Maka(Allah) mengilhamkannya(untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan membawanya kepada ketaqwaan.
9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya;
10. Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya.
11. (Ingatlah), kaum Thamud telah mendustakan (Rasul-Nya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas.
12. Ketika bangkit orang yang sehabis-habis jahat antara mereka memimpin mereka.
13. Maka berkatalah Rasulullah (Nabi Salih) kepada mereka, “(Janganlah kamu ganggu) unta betina daripada Allah itu dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab)!”
14. Lalu mereka mendustakan (pesanan) Rasul serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Dia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga hancur binasa kesemuanya);
15. Dan Allah tidak menghiraukan kesudahan(mereka) yang sedemikian, (kerana itu adalah balasan yang adil).
Di sana, aku berkesempatan melakukan sembahyang jenazah. Setiap waktu tanpa gagal ada saja mayat untuk diempatkalitakbirkan. Buat pertama kali juga aku ikut sembahyang Jumaat. Terlalu banyak kisah-kisah spiritual dan perihal budaya yang nak diceritakan tapi cukuplah sekadar imej foto-foto yang aku rakam ini menglipurlarakannya. Gambar-gambar di dalam Masjidil Haram semuanya gambar curi. Jika bertembung dengan polis masjid ketika berfotoan, nescaya kamera dirampas, tak pun dihempas! Selain ke Madinah Al-Munawarrah dan Makkah Al-Mukarramah, aku berkesempatan ziarah ke Dubai dan Jeddah. Di Dubai sempat ikut city tour melihat Burj dan Palm Jumeira. Di Jeddah, teruja melihat ratusan arca awam di bandarnya selain menyedut bauan Laut Merah. Selamat menonton!
Biar gelandangan fizikal, jangan gelandangan spiritual
Rawk on..☺
ps: aku masih nak rileks minggu ni. kerja-kerja seni akan dimulai isnin depan.telefon masih tutup hahaha..sabar ye. sabar itu separuh dari iman
Comments
Takbir..
Tentu ko nampak signage-signage bahasa Melayu kan..
disamping tu makan tentu best and dapat menu baru :)
mer..tak sempat explore sgt bab makanan kecuali merasa briyani & roti tempayan. ye, bahasa melayu kerana ramai geng indon meniaga kot..siap kfc & burger king depan masjidil haram lagi tu hehe apa lar arab nie..
fa-T. syukran
dj - ha..tunggu apa lagi? work it work it! insyaallah la tu ;)
hmm dengar citer tak lama lagi ada toyol main playstation lah pulak. macam-macam..
kak siti- alhamdulillah. tapi khamis dan jumaatnya da macam musim haji. tawaf & sa'i berasak-asak. hari-hari biasa macam demo PPSMI. berlaga-laga juga ler..
abg pyan - rebet yeee..!
medi - thanks babe..kalau Balai anta lu projek kat UAE ke..lompat ler ke sana kejap. Best giler. Negara lain memang best juga tapi secara spiritual tak boleh dpt macam yg ini.Awesome!
Tahniah kerana selesai beribadah di Baitillah serta ziarah Rasulillah.
Perkelahan Spiritual memang terlalu indah. 1,000 tahun tidak cukup menceritakannya. Tertanam di hati dan tumbuh dalam ingatan buat selamanya.
pengasas- terimakasih untuk kata2 hikmat dr seorang otai :)