EUFORIA

30 April 2011-Projek Rabak@Menora Tuisyen, Ipoh

Syukur ALHAMDULILLAH segalanya berjalan just as planned. Small occassion but very intimate and sempoi indeed. Berbilion terima kasih kepada semua yang hadir especially team Projek Rabak, En Hasnul & the gang, Ise, Rahmat, Fathul, brothers & sisters of UTP, Airmaz, wakil2 SGE,. Last but not least to Pak Samad yang sentiasa memberi semangat walau dari jauh.

oh ya..kepada abang Pyanhabib yang berkempen stail jual ubat atas pentas di pesta buku sampai sold out hehe..lu rock!



'Duta' Euforia Fathullah Luqman Yusuff :) turut beri ucap sewaktu majlis pelancaran. Sungguh bermakna untuk saya.

Juga tqvm kepada member2 yang sms, call, fb dari jauh..kirim beli buku atau mengucap walau sepatah kata 'tahniah'. Saya cukup hargai. Sungguh.

I feel so blessed. I wanna cry..


[Sepatah dua kata A.SAMAD SAID untuk majlis pelancaran EUFORIA oleh Rahmat Haron anjuran Projek Rabak - 30hb April 2011 (Sabtu), 3.30 petang, Pusat Tuisyen Menora, Ipoh, Perak]

EUFORIA—TASIK RENANG YANG INDAH


Dunia seni sentiasa aneh. Di mana-mana. Dan dalam keanehan itulah pula lazimnya seniwan rajin berpesan: dunia tidak harus begitu; seniwan tidak harus begini. Tapi, gemar atau benci, kita sempat ranum daripada keanehan seniwan itu.

Seni sewajarnya dan biasanya indah—maklumlah “seni”. Tapi, tampaknya tidak pula begitu keadaannya kepada Nur Hanim Khairuddin. Kepada Nur Hanim seni sangat berpesan. Selalunya warna hanya untuk mata; lagu hanya untuk telinga. Sebenarnya seni juga memerlukan hati nurani—lebih dari mata dan telinga.

Melalui “Euforia” yang menghimpun kritikan seninya—seni juga terbukti kekacauan. Banyak yang harus diredah, banyak yang harus dihujah. Nur Hanim cuba membantunya melalui beberapa pengamatan. “Euforia” menjadi lebih sesuai dipanggil “Eurolara”—kerana memang sengsara seniwan itulah yang nyaring dijeritkannya.

Sejak Fathul dan Rahmat membawa kepada Haslin dan Kojek dunia catan adalah dunia resah. Seni bukan untuk mata; ia lebih untuk qalbu. Dan begitulah dari sebuah kritikan kepada sebuah apresiasi, Nur Hanim Khairuddin bercakap dengan separuh ria dan separuh lara. Tentang seni, tentang seniwan. Dan seniwan dan dunia mereka didapati sering kurang serasi. Malah sering berbalah.

Memanglah sangat jarang dapat dihayati dunia seni secara real, apalagi dengan tulus. Seniwan yang biasanya insan bersembunyi tidak sama sekali menghiburkan. Kebanyakan karya mereka adalah halaman-halaman perit kehidupannya yang dicakarkan melalui pelbagai jenis media warna dan segala bentuk yang terkhayalkan.
Nur Hanim Khairuddin sangat tulus dengan penemuan seni yang sangat seharian ini. Yang resah dihurai keresahannya; yang ria tidak disembunyikan puncanya. Nur Hanim dengan langgam bahasanya yang berat cuba meringankan sengsara seniwan.

Himpunan esei dalam “Euforia” ini memang mengembara sangat jauh—malah letih—mengesani setiap kepiluan dan kemarahan seniwan. Lukisan, nyanyian dan persembahan hanya “alat” penghubung. Tanpanya seniwan hanya seniwan sendirian. Dan di sini tampaknya, Nur Hanim Khairuddin menjadi penghubung yang simpatik. Norhaslinda Nordin—yang kecil molek, menurut Nur Hanim—tidak kecil molek pesanan karyanya. Norhaslinda menyesali natijah “kemajuan teknologi”. Jeri Azahari yang arwah cuba sedamai di pentas grafik pop—Jeri pilu dan resah—apalagi Allahyarham tidak sempat meranum jauh.

Dan mengembara di celah-celah rimba seni harian mereka—termasuklah di celah-celah karya matang Ahmad Fuad Osman, Zakaria Ali, Hasnul J. Saidon dan Siti Zainon—kita teresap ke dalam dunia pesan berilmu, dan, tidaklah aneh, ilmu juga tampaknya sempat menyebelahi kesengsaraan dan kesunyian.

Hanya pada dunia seni perfoman segala-gala menjadi lebih mendobrak—malah terkadang kegilaan. Terlihatlah wajah dunia yang tidak tenang—terasalah kekacauan yang, anehnya, “membijaksanakan”.

Nur Hanim Khairuddin memasuki hampir ke seluruh bidang seni teman-teman seniwannya. Dan daripada setiap bidang itu, dia sentiasa cuba menghantar keresahan dan harapan para seniwan. Dunia filem resah; dunia pentas resah; dunia lagu resah. Bayangan keadaan nasib seniwan yang cuba diwakili oleh sampah sarap yang “disenikan” mereka. Segala ini bukanlah sepenuhnya kesalahan seniwan. Ada yang sempat melawan—dan menang. Ada yang tercicir di tengah jalan—tidak kalah. Malah “semangat” dekad yang dilalui para seniman yang jarang-jarang terbela hidupnya itu menjadi kisah sufi yang sedap tapi lara.

Di situlah tampaknya sumbangan para kurator seni seperti yang teramanah kepada Nur Hanim Khairuddin.

Sangat banyak yang dikembarai dan ditangguk—dari desa ke kota; dari dalam negara ke luar negara—semuanya demi memperanum dan memperharum dunia perkembangan seni.

Kepada mereka yang tidak berlatarkan seni, “Euforia” pastilah berat. Tapi, kepada mereka yang memang sentiasa terendam dalam dunia tersebut, “Euforia” adalah tasik renang yang indah!
—A. SAMAD SAID.








NOTA:
Bagi yang berminat untuk membeli buku berharga RM30 ini, sila emel kepada terataknuromar@gmail.com atau mesej di fb Nur Hanim Khairuddin atau terus dapatkan daripada penerbit, Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, USM, Pulau Pinang

Comments

Loki said…
tahniah kak hanim. nanti saya cuba korek tabung ayam utk oder buku kak ni hehe
MARSLI N.O said…
Sdr Hanim: Masih punya baki Euforia?
MARSLI N.O

Popular posts from this blog

Koleksi Saya #4

Bila Tempua Bersarang Rendah

NARATIF SENI RUPA MALAYSIA