Wednesday, September 10, 2008

KE AKHIR SYAIR

Umum sudah mafhum bahawa tokoh bapa kewartawanan A.Samad Ismail telah pergi mengadap Ilahi pada 4 September 2008. Sama-sama kita doakan semoga roh beliau dicucuri rahmat dan dipermudahkanlah segala perkiraannya oleh kerana sumbangan besar yang telah beliau tinggalkan di atas dunia.

Terima kasih A.SAMAD SAID kerana sudi menurunkan air tangannya di blog yang tak seberapa ini.

------------------------------------------------------------------------------------

KE AKHIR SYAIR (Elegi untuk TS A. Samad Ismail)

Dari awal dekad terjajah
hingga merdeka bermaruah,
harapannya bangat banyak—
terlindung dan berselerak.
Tapi, suaranya kekal satu
tegas pedas, tajam padu.
Di sisi bangsa dan budaya
lidahnya jarang berubah.

Dalam dekad ‘bagero’ bergigi
dan tetahun ‘yesman’ bertaring,
suara beraninya benih menguji,
tinta canggihnya degil bersaing.
Langkah Jepun, hadapi Inggeris,
tekun direnda abjad merdeka;
dirinya sentiasa di pentas satu—
ke akhir hayat pun tetap begitu.

Dia mengirim burung permai
ke angkasa yang bangat keruh;
tintanya sentiasa pesan damai
bisik waras qalbu yang utuh.
Layar kecilnya menguji musim
menampar sebanyak samudera—
kemudinya mengenal iklim
meranum bangsa dan bahasanya.

Hingga akhir lidahnya perkasa,
senyap nyaring, lembut berani;
di tengah teman dan musuh sejarah
dakwatnya hujah berseni.
Dari muda ke puncak dewasa
dirinya terus diranumi hemah.
Dan layarnya kemudi teruji
mencantikkan panji bangsa.

Dan dalam lara ria berganti
bangunnya yakin bertekad
dibebat nasib bangsa berbudi
dikukuh dengan langkah bersukat.
Kini dua abad cemas berganti
batinnya masih waja berperi
tentang gelora bangsa merdeka—
kulit dan isi serta zatnya.

Ia suara gigih dari Timur,
mendecip kemerdekaan berkat—
dirinya tekad pantang berundur,
indah gunung—jauh dan dekat.
Di qudus azan paling syahdu
dalam Ramadan Jumaat sayu
dirinya obor bergilir padam—
setelah nyala penuh beragam.

Tapi, dari awal dirinya tahu
ke akhir syair ia tunggu.
Begitu beda kehidupannya
memaruahi jati diri bangsa.

5—10 September, 2008. A. SAMAD SAID.