Monday, September 22, 2008

Tak Reti Bahasa..

Sebenarnya aku masih confuse lagi dengan istilah-istilah bahasa bidang seni yang aku ceburi. Seni tampak? Seni Rupa? Seni Visual? Dahulu, ketika berpeluang bersidang dengan Syed Ahmad Jamal, beliau menekankan penggunaan 'seni rupa' (seperti semangat Rupa Jiwanya mungkin). Indonesia juga menggunakan 'seni rupa'. Arwah Rahime Haron sewaktu hayatnya mengangkat istilah 'seni tampak'. 'Tampak' equivalent to 'visual' katanya. Kini difahamkan pihak Balai Seni Lukis Negara mengusung perkataan 'seni visual' pula. Jadi sepanjang aku memandai-mandai jadi penulis seni, sudah ketiga-tiga istilah aku teroka sampai rambang mata. Mohonlah pakar-pakar bahasa beri pandangan agar bahasa seni tidak menjadi cacamarba dan tak menentu seperti sedia ada.

Sambil-sambil itu, bagi yang belum berpeluang menatap surat terbuka Baha Zain kepada Pak Lah pada Jun lalu, aku tempelkan di bawah sebagai panduan tentang isu bahasa (dirampok dari www.prihatin.net).


Surat Terbuka Kepada YAB Perdana Menteri Malaysia - Baha Zain

Assalamualaikum YAB Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia, semoga dalam perlindungan dan limpahan rahmat-Nya.

Ini bukanlah kali pertama saya menyampaikan permintaan dan harapan tentang soal mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara kepada YAB Pak Lah, baik dalam suatu pertemuan yang khas di Putra Jaya mahupun melalui dua e-mel kepada www.warkahuntukpm.com.my Walaupun saya mengenali Pak Lah, dan juga sebaliknya, tetapi surat ini disampaikan sebagai seorang penulis rakyat biasa yang setia kepada negara dan sangat prihatin terhadap Bahasa Melayu (BM) sebagai Bahasa Kebangsaan tanah air yang satu-satunya ini.
Bekas Perdana Menteri, Mahathir Muhammad ( sekarang Tun) telah memberhentikan BM sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains dalam sistem pendidikan kebangsaan pada 2003. Ini memberi akibat sangat buruk terhadap status dan fungsi BM sebagai bahasa ilmu dan juga jati diri negara. Bagi saya ini adalah satu dosa besar yang dilakukan oleh seseorang pemimpin negara terhadap warisan, tamadun serta jati diri bangsanya. Semua bangsa maju (Cina, Jepun, Jerman, Perancis, Korea dan sebagainya) membina kemajuan dan ilmunya melalui bahasa kebangsaan masing-masing, dengan tidak menafikan sumbangan bahasa-bahasa antarabangsa sebagai sokongan. Tidak ada hujah yang rasional dan alasan yang kuat untuk menyingkirkan peranan Bahasa Melayu itu dalam sistem pendidikan negara setelah digunakan dengan jayanya lebih daripada 30 tahun.

Saya berpandangan adalah menjadi tanggungjawab YAB Pak Lah sebagai Perdana Menteri yang berkuasa sekarang, memperbetulkan balik apa jua kerosakan atau kesalahan dasar serta pelaksanaan yang memberi kesan buruk terhadap nasib dan masa depan tamadun negara. Apabila generasi baru masa depan menjadi dewasa dan maju dalam budaya bahasa Inggeris dan kemudian berasa rendah diri kerana tidak memiliki bahasa kebangsaan yang bernilai ekonomi serta tidak menjadi wahana ilmu dan teknologi, kerajaan dan pimpinan negara dekad inilah yang patut dikecam. Apabila generasi masa depan itu menjadi maju dan bangga dengan tamadun bangsa serta jati dirinya , pemimpin hari inilah yang patut dipuji dan dihormati. Terlalu banyak wajah dan semangat masa depan itu perlu YAB Pak Lah rancang dan lakar secara berani pada hari ini juga.

Saya tidak mewakili mana-mana pihak, tetapi percayalah suara saya ini dikongsi bersama oleh ribuan individu lain terutama golongan penulis yang berasa sangat marah terhadap jenayah dan dosa terhadap Bahasa Melayu ini. Akhirnya dengan rendah hati saya memohon YAB Pak Lah agar terbuka hati untuk menimbangkan isu ini secara serius dan mengembalikan kedaulatan Bahasa Melayu.

Saya berdoa semoga Allah merestui segala perbuatan dan niat yang baik, dan melindungi YAB .

Salam hormat daripada,

BAHA ZAIN
17 Jun 2008

11 comments:

deqiut said...

Apapun seni tetap seni, perlu disemai, dibaja, dipupuk malah dinikmati. Lebih wajar sekiranya perkataan 'seni rupa' itu dikekalkan kerana lebih menyeluruh merangkumi maksud tampak atau visual itu.

BSLN perlu lebih peka tentang persoalan bahasa kerana 'bahasa jiwa bangsa' teras jatidiri.

amerr said...

perkara ini pernah diangkat beberapa kali, masa Datuk Rais beliau setuju 'tampak' sebab visual tu saduran english. la ni 'visual' balik sebab ada beberapa orang komen yang DBP tak pernah iktiraf, yg ada dlm kamus ialah 'seni visual'. jadi katanya sehingga itu ikut DBP je...

pelukis nak pakai pelukis ke artis? dengar kata 'karyawan' tu kat indon sana dirujuk kepada 'pekerja gomen'..

arhamazmi said...

bagus jugak kak hanim pertikaikan mengenai perkataan seni rupa, seni visual ataupun seni tampak...sampai sekarang saya pun tak dapat jawapan yang pasti bagi tiga definisi tersebut...hehehe...kalau dibarat pelukis di panggil artis, pelakon lelaki dipanggail actor, pelakon perempuan dipanggil actress... "art"is...merujuk pada seni....:act"or...merujuk pada pelakon...itu lah yang saya paham...cuma di malaysia banyak perkataan yang telah di malaysiakan ...ntahlah...siapa yang pandai tolong lah jawab.

MeDiArTpAsSiOn said...

Depends on ketuanya, Kat sekolah kan ker Pendidikan seni visual... ketua kan ker educator, tu yang jadi camtu tu. Apa2 pun seni jerlah. Satu lagi pasal surat tok baha tu aku setuju dan kurang setuju. Dulu pun aku tentang gak tapi selepas dengar komen pelbagai pihak ada satu sebab lojik yg otak aku terima sebagai menyejuk marah aku dulu. Alasannya ialah, bukan selamanya BI utk 2 subjek tu, tetapi kat Malaysia ni pakar2 bahasa yang mengkhusus contohnya dengan istilah2 sains dan matematik ni hampir takde, jadi camno nak translate buku sekolah anak2 kita ni atau lebih nazaknya buku2 sains dan matematik diperingkat universiti, Mana perginya pakar2 bahasa kononnya yang banyak buat bising tu? Kenapa diorang taknak tolong terjemahkan istilah-istilah tu. Even dalam seni sekalipun, ITNM selalu menolak untuk menterjemah katalog seni dengan alsan sejujurnya, banyak istilah seni yang diorg tak faham. Jadi dapatlah para artis kita rezeki terjemahan. Keyataannya anak2 saya kat rumah yangmemang ortodoks berbahasa Malasyia lebih cerdik sains dan matematik sejak ia diajar dalam bahasa inggeris. Tak salah rasanya belajar menggunakan bahasa asing asalkan ilmu tersebut boleh dimanfaatkan untuk bangsa dan negara dan yang penting kita sebagai ibu ayah yang patut bercakap dalam bahasa Malaysia yang betul dengan anak kita bukannya berbahasa melayu berslang inggeris ataupun dirojak atau dipesemburkan terus. Seperkara lagi pasal istilah seni ni, kenyataannya terlalu muskin istilah dalam bahasa Malaysia untuk istilah seni kerana DBP juga tidak mahu memelayukan bahasa asing seperti yang dilakukan oleh indonesia dan ini memudahkan mereka untuk menyampaikan ilmu tersebut, Bahasa Asing diindonesiakan.

Betul mer, tiap kali aku dengar orang guna istilah karyawan aku senyum jer.... Aku rasa adalah lebih baik dan berstatus kalau gunakan istilah SENIMAN kerana bagi aku karyawan selain daripada orang goemn di indonesia, nampak macam tak serius jer bunyinya, Semua org yang menghasilkan sesuatu boleh dipanggil karyawan tetapi kalau seniman aku rasa lebih gah dan serius. Apa-apa pun isu yang baik untuk didebatkan, tahniah nimkhai.

haneem kaydeen said...

terima kasih semua di atas komentar kalian. tapi kita masih belum ada konklusi. kita tunggu otai-otai bahasa beri pandangan nanti. betul, terminologi seni memang tidak diberi pandangan serius oleh pihak2 yg berkenaan. sebab apa? seni itu sendiri masih dianggap second class di negara kita. seni & budaya hanya dijadikan kosmetik untuk acara-acara perasmian,pelancongan dan perayaan, bukan sangat untuk didekati, diselami dan dinafasi semangatnya. hingga kini, majoriti masyarakat tidak terusik pun untuk menjamahnya..

tentang sains & matematik juga, aku rasa yang ditekankan adalah bahasa pengantar/perantaraan yang harus tetap dalam bahasa melayu, bukan melibatkan bahasa formula dan terminologi sains & math nya. kita tanya pak baha nanti..

bahazain said...

ASM Sdr Hanim,
Selamat beribadat sepanjang Ramadan dan teriring doa restu untuk sdr sekeluarga pada Aidulfitri nanti. Saya gembira membaca pandangan2 dlm blog sdr, dan T.Kasih jua memanjangkan tulisan saya tentang bahasa.

Tentang seni rupa/tampak/visual saya lebih cenderung menggunakan seni rupa kerana mempunyai makna konotasi yang sangat kaya dlm budaya Melayu. Bayangkan maksud:rupa muka; rupa-rupanya; rupawan; berupa-rupa;menyerupai; keserupaan etc.Hakikat seni itu sendiri sangat kaya makna dan penafsiran mengikut mata pembaca/penontonya.

Tentang BM dan B.Inggeris dalam matematik dan sains sesungguhnya banyak sekali kekeliruan di kalangan masyarakat. Pertama tak ada sesiapa yg menentang BI. Malahan anak-anak kita kalau boleh biar mahir bukan sahaja BI, tetapi juga bahasa2 besar lain spt Mandarin, Arab, Sepanyol etc.Yg ditentang ialah menggunakan BI sbg pengantar Sains & Matematik kerana tidak kena untuk mendidik dan membina proses kognitif anak-anak.Pakar pendidik UNESCO juga berpendapat pendidikan awal persekolahan mesti menggunakan bahasa ibunda . Bukan istilah yg hendak diutamakan, tetapi konsep.Kalau istilah teknikal sudah ada hampir 1 juta istilah termasuk fisik, kimia, dan angkasa lepas diciptakan.Kalau untuk sekolah menengah sudah memadai.Lagipun istilah Inggeris itu majoriti dicedok daripada Perancis, Jerman, Itali, etc Angkasawan negara yg pertama itu adalah hasil drpd sistem pendidikan yg digunakan sebelum 2003. Dan berapa ramai generasinya yg lulus Oxford , Cambridge dlm sains dan kejuruteraan, malahan undang-undang yg lebih memerlukan penguasaan BI. Apa yg berlaku sekarang tak ada banyak masalah bagi anak-anak bandar, ibu bapa yg ada gaji besar boleh hantar anak tuition, tetapi dari segi demokerasi pendidikan apakah kita nak pinggirkan ratusan ribu Melayu di luar bandar.Guru pun tak mahir mengajar lancar dlm BI. Periksalah di sekolah-sekolah. Kita telah menjadi bangsa yg terperangkap dlm fikiran BI sedangkan ilmu berlonggok dlm bahasa Portugis, Sepanyol, Jepun,Jerman. Dlm olimpiad fisik sebelum ini yg cemerlang adalah pelajar Vietnam yg tidak menggunakan BI.
Tetapi apa boleh buat pemimpin politik pun bukan semua pemikir, dan golongan seniman serta cendekiawan pun tak memiliki daya juang intelektual yg ampuh.Orang Melayu kita menjadi bangsa yg pinggiran atau marginal sikap mentalnya.Kegigihan berjuang juga goyah.Ini adalah masalah kita bersama,masalah kawan-kawan kita,& masalah seniman.

SITI ZAINON ISMAIL(Ph.D Univ Malaya) said...

Ya adina Habibi, kanda dah tulis di blogku, bolehlah panjangkan doi sini? selamat berjuang dan berfikir terus yeeee. Salam Syawal penuh maaf segalannya (Siti Kusdee,SZI)

haneem kaydeen said...

Terima kasih dato'baha di atas penerangan yang memperjelaskan lagi segalanya. sememangnya kesan penggunaan pengantar BI dlm kedua subjek itu sangat negatif bagi anak2 di luar bandar. Sebahagian saudara mara saya di kampung turut terkena tempiasnya.

Begitu juga prof siti yang groovy, memberi buah fikiran terus di blognya. saya masih ingat prof minta para pelukis menimbangkan untuk guna bahasa melayu bagi tajuk-tajuk karya & tajuk pameran.kita akan cuba maksimakan selepas ini.

mungkin cadangan prof untuk menghimpun pakar2 seni dari IPTA/IPTS dan pakar2 bahasa termasuk DBP untuk duduk semeja membincangkan perihal terminologi seni ini boleh disambut oleh pihak BSLN. Amer, Majidi, Erry apa tunggu lagi? Demi satu kesatuan agar kita lebih fokus dan tidak tergagau-gagau mencari erti.

Greenlite sudah diberi untuk 'seni rupa'. Takkan tak tele pula dengan 'seni visual' Balai.(hehe cucuk jarum baik punya)

amerr said...

Apa macam tahun depan kita adakan satu pameran jemputan dengan bertemakan perjuangan bahasa ibunda termasuk loghat daerah yg semakin hilang, kita justifikasikan dibawah 'intagible cultural heritage'. masa tu bahasa dan loghat dari Laut Andaman di utara, Laut Cina dan Laut Sulu di timur hingga ke Laut Hindi dan Laut Arafura di selatan.. semua keluar. tajuk pameran 'Se Laut Harapan' ke 'Tanam Tebu Tepi Bibir' ke atau apa-apa lg yang sesuai.. kalau setuju, aku buat paper nak bagi kat majidi esok dateline..

haneem kaydeen said...

redah ajee beb..best gak semua works kena include istilah, ayat,kiasan, pantun, syair etc..itu under warisan mesti bajet besar punye hehe

Awang Kata said...

Saya masih teringat kata-kata yang menyatakan bahawa belum dikatakan intelektual seseorang itu andai hal-hal kebudayaan tidak dipedulikan. Antaranya bahasa dalam aspek kebudayaan. Bagaimana dengan seni bahasa dalam masyarakat kita...mungkin begitu jauh lagi walaupun kita telah ada teladan.