Koleksi Saya #4



RAJA SHAHRIMAN RAJA AZIDDIN
"Siri Nafas M9"
Besi
20.5 x 6 x 9cm
2003


Karya ini semestinya salah sebuah koleksi yang paling aku sayang. (Mujur tak diambil perompak dan besinya dijual timbang baru-baru ini!)

Shahriman atau lebih mesra aku panggil Abang Man telah membuat 'surprise' (setelah aku selesai menyelenggarakan pameran solonya pada tahun 2004 di Balai Seni Lukis Negara) dengan menghadiahkan secara ikhlas salah satu arca dari siri itu. Aku betul-betul terharu dan gembira tahap dewa dibuatnya. Yelah, nak beli memang tak mampu..

Pada aku, Shahriman merupakan seorang seniman yang betul-betul dedikasi dengan pengkaryaannya. Walaupun tinggal nun jauh di Kuala Kangsar dan jauh dari kebingitan seni, beliau mampu terus berkarya dengan tenang tanpa terpengaruh dengan trend mahu pun kehendak pasaran seni. Aku tak sabar menunggu solo seterusnya pada tahun hadapan. Karya-karya yang lebih besar dari human figure akan mengisi pameran itu nanti katanya..Wow!



Abang Man dan bonda tercinta Raja Johanis dengan karya bentuk baru yang dipamer di galeri Pelita Hati pada tahun ini.









Di bawah adalah respons Fathi Aris di malaysiakini.com terhadap esei kuratorial aku untuk pameran Nafas. Mandiiii...

‘NAFAS’ : Berhala Tanpa Kepala
Fathi Aris Omar | Nov 29, 04 2:05pm – Malaysiakini.com

Ada sesuatu yang ‘ganjil’ dalam pengucapan seni Raja Shahriman Raja Aziddin. Begitu juga kurator pameran seni arca ‘Nafas’, Nur Hanim Mohamed Khairuddin. Teks kurator dalam katalog dengan sejumlah foto arca itu – dengan latar pengarca – berada dalam simpang paradoks.

Kemelut Shahriman bukan baru dan kupasan kurator pula hanya menegaskan apa yang ada. Hal ini masih boleh dibahaskan, maksudnya isu Islam menentang penghasilan arca yang menyerupai ‘imej’ kejadian Tuhan, sama ada manusia (anthropomorphic) atau haiwan (zoomorphic).

Tetapi, selepas merenung kembali rencana pengiring pameran itu, ‘Nafas Asyik: Hakikat insan mabuk seni’, saya dapati tidak ada kekuatan yang fundamental bersamanya. Tidak ada yang ‘berat’ cuba dipermasalahkan kecuali berat besi-besi itu sendiri; tidak pula mengasyikkan. Mungkin saya silap.

Kelihatan wacana Nur Hanim, tidak sejajar dengan karya Raja Shahriman. Isu pokok yang cuba dibahaskan oleh kurator – dan mungkin hal yang sama berlegar dalam fikiran pengarca – tidak tertuang dalam karya.

Maksud saya, apakah definisi ‘berhala’ atau patung yang menyerupai kejadian Tuhan yang dilarang oleh Islam? Persoalan ini yang menghantui Raja Shahriman selepas terpengaruh dengan semangat anti-patung atau konsep ikonoklasme Melayu-Islam sekarang.

Tetapi pengarca mengambil jalan mudah, tidak mahu mendekati atau memecahkan persoalan ini, sebaliknya membuangnya jauh-jauh. Caranya: buang kepala si berhala!

Misalkan begini: patung-patung dari kuil dibuang kepalanya, diletakkan pula di satu ruang pameran lain (bukan lagi di kuil), maka apakah layak ‘diterima’ dalam perumusan ikonoklasme Islam di negara kita saat ini?

MASALAH FALSAFAH

Kata Nur Hanim, “ikonoklasme bukan membawa konotasi harfiah pemusnahan’ (objek patung). Namun menjurus kepada proses peralihan konteks (recontextualization) dan pencacatan rupa (defacement). Atur letak imej-imej ‘berhala’ diubah suai agar lupus ‘kesuciannya’; imej-imej dicacatkan bahagian muka terutama mata dan hidung supaya hilang ruh yang bersemadi bersamanya.” (muka surat 7; dan nadanya diulang di bahagian kesimpulan pada halaman 12).

Perenggan ini cukup bermasalah dari segi falsafah dan juga zahir pengkaryaan Raja Shahriman. Tidak ada proses ‘menyelesaikan’ masalah kepala atau muka (seperti didakwa Nur Hanim) pada semua patung pengarca ini kerana semuanya tidak mempunyai kepala.

Jika ‘ada’ (lihat arca-arca No. 1, 8, 14 dan 20), ia diwakilkan dengan sepotong besi tajam yang menakutkan. Kelihatannya seperti ‘pucuk api’ (simbolisme ‘iblis’ dalam al-Quran), bukan kepala atau lidah (atau mulut, satu lagi ruang bernafas).

Dalam bahasa mudah, kepala arca Raja Shahriman dibuang bagi menjadikannya ‘halal’ di sisi sosio-agama (dan mungkin juga di hatinya) kerana takut pada ikonoklasme Melayu saat ini. Tetapi bagaimana semua patung ini boleh ‘bernafas’ tanpa kepala? Ekspresi ‘nafasnya’ (tema pameran) bagaimana dan di mana? Pada gerakkah, pada riak mukakah atau pada hidungkah?

Setahu saya, hanya lipas (atau serangga) yang mempunyai liang-liang pernafasan di sisi badannya, bukan di kepala. Nafas ini, kata kurator, simbol ruh yang menjadi asas pertikaian budaya ikonoklasme Islam, kononnya ia pancaran ‘tauhid’.

Saya nampak Nur Hanim sendiri tidak senang dengan kata ‘berhala’ atau konsepsi ikonoklasme seumpama itu. Sebabnya, dalam tulisan beliau, kata ‘berhala’ diletakkan dalam tanda kutip (quotation marks) semacam ‘bantahan senyap’.

KEPALA ARCA

Tetapi saya menduga, Raja Shahriman memang benar-benar percaya bahawa membuang kepala itu akan menyelamatkan arcanya daripada digelar ‘berhala’; sebab itu kepala arca-arcanya dibuang sama sekali! Berbeza arcanya dalam pameran ‘Gerak Tempur’ (1995) atau ‘Semangat Besi’ (2001) yang masih mempunyai elemen kepala.

Tetapi persoalannya, walaupun kita bernafas melalui hidung (di kepala), tetapi ruh tidak pernah dengan pasti ditentukan di kepala. Ertinya, kepala bukan tempat ruh. Dalam pandangan Islam, di manakah letaknya ruh?

Kecuali ‘ruh’ itu diperkecilkan tafsirannya secara reduktif – proses biokimia di dalam otak. Pada sisi kajian sains mutakhir, kematian otak menjadi takrif kematian seseorang. Kita tahu otak memerlukan oksigen. Nafas itu pula, pada pandangan sains, keluar-masuk karbon dioksida dan oksigen.

Tetapi ruh bukannya oksigen; bukan juga proses biokimia di dalam otak. Ruh manusia, setakat ini, tidak tertakrifkan kerana (dalam paradigma al-Quran) ia jelmaan daripada hembusan ruh Allah (kepada Adam). Sedangkan zat Tuhan pula bukan sahaja misteri tetapi dilarang daripada dikaji dan dibicarakan.

Ada pula larangan daripada bertanya asal muasal kejadian ruh manusia, kerana dikaitkan dengan “urusan Tuhan-mu” (dialog Allah dengan Muhammad seperti diceritakan dalam al-Quran). Oleh itu, saya duga, falsafah Islam tradisi (seperti anutan Raja Shahriman, mungkin) tidak dapat menerima pandangan empirikal yang reduktionistik ini. Hal sedemikian hanya usaha penurunan darjat intelektual falsafah seni kepada nisbah saintisme seni.

Pandangan seumpama ini hanya layak dalam perspektif ‘pascamodenisme’ sahaja – maksudnya perspektif yang membenarkan campur-aduk wacana yang tidak berhala (hala di sini maksudnya ‘arah’). Sebab itu, sukar hendak dikatakan pameran arca ‘Nafas’ sebagai ekspresi ‘seni Islam’ (seperti ideologi yang dianut sekarang).

Malah tema ‘Nafas’ itu suatu rumusan yang masih terawang-awang dan mengada-ngada. Elok jika digubah temanya dengan kata-kata lain, misalnya siri ‘berhala logam tanpa kepala’. Bagi Nur Hanim pula, isu ini paling asasi dalam pameran Raja Shahriman setelah terpaksa bergelut dengan “dogma anikonisme” sekian lama.

LUAHAN KREATIF SENIMAN

Kata kurator ini, di bahagian pengenalan (dan nada yang sama di muka surat 13), “menzahirkan ‘kelegaan’ beliau [pengarca] kerana barang kali akhirnya sudah ditemui titik indah perseimbangan anikonisme-ikonoklasme di dalam penerokaannya [Raja Shahriman] mengenal hakikat insan.”

Tetapi seperti saya cuba tunjukkan tadi, pengarca tidak serius mendepaninya – soal pencacatan muka seperti cuba didakwa oleh kurator. Sebaliknya, pengarca lebih rela nafas – simbol hidup dan kemuliaan insan itu – itu dizahirkan melalui gerak-gerak anggota badan yang ‘rendah’, yang kurang mulia, seperti kaki, tangan atau celah kangkang.

Bahkan banyak juga arcanya (No. 21 hingga 30) yang ‘tidak bernafas’ sebab tidak boleh berdiri sendiri (dan harus guna tapak sokongan)! Bukankah ini mendekati imej seorang pesakit yang vegetative di perbaringan? Tetapi jika ia sedang terminal, geraknya tidak wajar dalam posisi badan yang canggih lagi rancak lagak seorang pahlawan pula.

Namun begitu, saya pandang tinggi wacana yang cuba digeluti Raja Shahriman sejak dulu. Wacana ini bukan persoalan peribadi beliau tetapi sejenis kekangan ketara bagi luahan kreatif seniman kita. Jarang dapat dilihat pergelutan idea sepenting ini dijadikan subjek pengolahan karya seni. Di satu sisi, dia telah cuba menawarkan jawapan seperti tanggapan Nur Hanim tadi. Tetapi masih simplistik dan harus diperdebatkan lagi oleh seniman-seniman Melayu-Islam.

Setidak-tidaknya, pada sisi lain, wacana-wacana baru sangat diperlukan bagi menentang dogmatisme aliran berfikir agama yang ‘fekah-istik’, dangkal dan fundamentalistik. Konsepsi Islam di negara kita cenderung formalistik atau harfiah, satu kecenderungan yang ‘berbahaya’ (pada hemat saya) untuk perkembangan akal sihat. Juga, kecenderungan mengabaikan teori-teori seni budaya yang sedang rancak berkembang di dunia antarabangsa.

Ambil contoh, penggunaan teori semiotika dalam kajian budaya bersama ruang-ruang tindihnya dengan disiplin-disiplin epistemologi, teori komunikasi, antropologi budaya atau teori maklumat. Kajian semiotika sosial membolehkan kita melihat dunia dari perspektif ‘tanda’ yang lebih dinamis dan sebagai kaedah analisa yang lebih mendalam, cair lagi perinci.

Atau mudah disebut begini: proses bagaimana manusia merumuskan makna (di dalam diri), mengeluarkan makna (kepada sasaran komunikasi) dan mengedarkan makna (secara kolektif). Hakikatnya manusia tidak bergantung pada ‘tanda’ – seperti muzik pop, patung atau jilbab – secara lapisan luar semata-mata tetapi proses pemaknaan (signification) diri dalam semiosphere.

FALSAFAH ILMU EROPAH

Susun lapis makna, kata Roland Barthes, melibatkan mitos atau ideologi – suatu proses melumpuhkan minda dengan kebiasaan-kebiasaan sosial agar diterima ramai tanpa dipertikaikan. Seolah-olah makna muncul secara ‘semula jadi’; bukannya rekaan manusia dari kelompok pengawal yang dominan.

Memang objek atau ‘tanda’ itu penting dan ada hubungan akrab dengan proses pemaknaan. Tetapi akhirnya ‘kandungan kod-kod budaya’ yang menguasai diri manusia. Objek boleh terpisah daripada kod dan makna, itu maksud saya, seperti cuba dilihat dalam wacana aliran absurdisme (polemik subjek-objek warisan dualisme dalam falsafah ilmu Eropah).

Maksud saya begini, patung hanya boleh dianggap ‘berhala’ dalam budaya yang memahami objek itu sebagai sembahan pengabdian dan digunakan pula untuk upacara agama. Dalam wacana Arab pra-Islam, berhala tidak dianggap Tuhan sepenuhnya. Berhala juga dianggap zulfa, ‘orang tengah’, antara manusia dengan Tuhan yang Esa.

Wacana ini, disebut dalam al-Quran dan hadis, difahami di zaman Nabi dengan mengaitkan kelompok paderi Kristian (yang mengubah hukum-hakam Tuhan sewenang-wenangnya) sebagai berlagak ‘berhala’. Martin Luther di Jerman beratus-ratus tahun kemudian akhirnya memprotes unsur-unsur kepaderian ini (yang telah diungkapkan di zaman Nabi) dan lahirlah mazhab Protestan.

Dalam budaya animisme kita, pokok besar dan menyeramkan, busut anai-anai atau ‘hantu laut’ (yang mendorong ‘puja pantai’) mungkin lebih besar kesan keberhalaannya (dan jika begitu, layak dibasmikan?) berbanding arca Raja Shahriman (walau kepalanya dikekalkan).

Malah dalam konteks semasa, footage pemimpin politik kita di televisyen yang diulang-ulang bersama muzik dan lirik bertulis dengan nada memuja boleh diangkat sebagai ‘berhala’ tersendiri. ‘Berhala’ ini jauh lebih kuat kesan ‘penyembahannya’ berbanding arca-arca dalam siri ‘Nafas’.

Tetapi ‘berhala’ pemimpin politik negara kita tidak akan dimaknai oleh semua orang. Imej-imej ini diberhalai oleh orang yang menyanjung-yanjung kekuasan (kudrat) pemimpin politik, menyerah diri pada kawalan mutlak kuasa mereka, takut dan bergantung nasib (untung dan celaka) di tangan mereka sahaja. Ia boleh mencapai tahap syirk atau ‘menduakan Tuhan’.

IDEOLOGI DAN KEKUASAAN

Maksud saya, signification itu sangat penting dalam debat sama ada berhala atau tidaknya sesuatu objek atau imej. Keberhalaan bukanlah objek tetapi inti maknanya. Jika makna hubungan itu sebagai pengabdian atau ‘ubudiyyah, apa sahaja objek, imej, ideologi atau kekuasaan akan mencapai taraf ‘berhala’.

Dulu, berhala pernah wujud dalam bentuk (saiz) duit syiling. Sebab itu, ketika diperkenalkan mata wang syiling dalam empayar Islam, ada bantahan dari ulama! Peranan berhala kecil ini seperti tangkal (azimat?) dalam budaya kita.

Keberhalaan ditandai bukan hanya keindahan, kasih dan kekaguman. Keberhalaan hakiki terletak pada kebergantungan nasib, ketakutan pada kuasanya dan penyerahan (ketundukan) diri sehingga mengubah gerak, termasuk gerak hati.

Di sini, hasil seni hanya menimbulkan rasa indah (estetika) dan kagum pada objek yang diciptakan (maksudnya, hasil kerja) tetapi tidak melibatkan rasa kebergantungan nasib, ketakutan pada kuasanya dan penyerahan (ketundukan) jiwa akibat kebergantungan dan rasa takut itu.

Kuasa politik dan kuasa ekonomi lebih kuat ‘kesan keberhalaannya’ berbanding kuasa seni. Oleh itu, objek seni atau arca patung (walau dengan kepala) bukanlah dengan sendirinya sejenis berhala.

Cuma, akibat kedangkalan kita sendiri dalam asas-asas pemikiran agama dan juga teori-teori budaya kontemporari, semiosfera kita saat ini masih melihat patung (kecuali di tangan kanak-kanak atau yang dipakaikan baju di kompleks membeli-belah) sebagai ‘meniru ciptaan Tuhan’ atau ‘berhala’. Inti semiosfera ini boleh diubah jika wacana Islam kita berjaya meminjam kajian-kajian budaya kontemporari.

NOTA: Tulisan Nur Hanim boleh dilihat dalam katalog Nafas: Seni Arca Raja Shahriman terbitan Balai Seni Lukis Negara (Jun, 2004).

Comments

Rapala Jingga said…
beruntungnya awak dapat memiliki karya raja shahriman tu... Saya ni ntah bila agaknya mampu memiliki karya-karya sedemikian... hu hu hu
MeDiArTpAsSiOn said…
This comment has been removed by the author.
MeDiArTpAsSiOn said…
Abg man seorg pengarca idolaku dan confirm takkan mampu memiliki arcanya, tapi alhamdulillah dapat keseronokan bekerja dan ilmu yang dipindahkannya tanpa kedekut dan dalam nada merendah diri. Bukan senang woii nak jumpa arits camtu! Kalau tak silap aku berhala akan digunakan kalau ia disembah jer kan. Kalau tak orang biasa panggil patung jer.
Rizal said…
kat sini mmg bersepah berhala tapi takda plak bentuk macam karya raja shariman...he.he.he
apapun tahniah kak anim kerana memiliki koleksi hebat dari kalangan artist yang berprofil tinggi.
nam ron..bila karya filem atau teatermu meletop di panggung tak lama lagi (mulut aku rasa masin) bolehlah borong arca shahriman nanti ;)

magd & muz..berhala dalam konteks masa kini dah mengambil rupa macam2..duit, kereta, tv, barang berjenama sayugia pemimpin sekali pun boleh di'berhala'kan. rasanya terpulang kepada nawaitu masing2 le..abg man sekadar menyettlekan kemelut yg meresahkan jiwanya pada masa itu. tetapi sekarang ternyata karya2 baru sudah berkepala dan berisipadu semula. adalah rasional dan kaedah yg dia dapatlah tu..

paling menarik, ketika lawatan aku ke tehran & isfahan beberapa tahun dulu, begitu banyak patung dan lukisan figura di sana. walhal mereka duduk dalam suasana yg lebih terkongkong bawah pemerintahan islam ortodoks. aku tengok public sculpture giacometti dan arca2 realist figura bersepah2 kat taman. rileks je depa..
MeDiArTpAsSiOn said…
Ishhhh, kontek salah tu, berhala tu kan ke bentuk 3D, duit takleh masuk list. Tapi bagi aku kalau yang macam duit, kereta, tv, barang berjenama dan pemimpin tu lebih sesuai guna 'bertuhankan' dan tu memang berlaku pada masa sekarang.

Teringat masa Bayu mula buat figura (Bujang Berani muka kemek) di ITM (bukan (UiTM) dulu. Fenomena gak tu sebab debat kehalallan dan keharamannya di kalangan mereka-mereka yang 'hebat' di sana. Pas menang BMS halal plak, siap simpan satu untuk Galeri Seni UiTM.... Entahlah!!!!!!!

Teringin nak dapat satu seketch Abg Man utk koleksi dan motivasi.
.ejat. said…
seronoknya dapat arca dari abang man. abg man dan keluarganya membuatkan saya takkan lupa sampai bile2,kerana sumbangan beliau tentang ilmu arca telah ditunjuk ajar kepada saya. dan saya amat mengagumi beliau.

Popular posts from this blog

NARATIF SENI RUPA MALAYSIA

Bila Tempua Bersarang Rendah