Koleksi Saya 11-12

















Jumaat lepas aku dibahagiakan lagi dengan lambakan lukisan yang dihadiah Rahmat.Sudah agak banyak lukisannya yang aku simpan (termasuk yang dibuat dengan tinta darahnya dulu).Aku berlagak sebagai arkib tidak rasmilah konon-kononnya..

Pada 14 April 2006 aku sempat menjadi kurator pameran ULANGTAYANG (Rahmat dan Fathul).Pejam celik sudah dekat 3 tahun rupanya. Dan dalam tempoh tersebut kedua-dua susuk istimewa ini masih gigih melukis. Tiada apa yang lebih memuaskan seorang kurator dari melihat pelukis yang diangkatnya terus berkarya!

Ini sebahagian dari teks kuratorial aku di dalam katalog pameran ULANGTAYANG:

Rahmat: Carut Realisme ke Balut Surrealisme
Menyelami karya-karya Rahmat menemukan kita kepada dirinya yang satu lagi: diri yang mahu bertenang dari kemelut sosio-politik-personalnya. Barangkali manifestasi kepada diri yang disangka-sangka digagali Cinta, dibeloti Sejarah, didustai Takdir. Majoriti lukisannya berperanan mengimbangi suara-lakunya yang skeptikal, kritikal, nakal. ‘Carutan’nya terhadap realiti sosial menerusi sajak (Bogela Testikal, Sakitsakat, Keranamu Malaysia, Utopia Trauma), teater agitprop (Tok Ampoo, demo, Tok Sloo) dan performans merupakan agensi-agensi politik menyaran sakit-sakit sekitar; semacam testimoni verbal-fizikal kepada kritiq sosialnya terhadap identiti dan budaya masyarakat. Dan suasana delirium yang muncul pada lukisannya hasil pintalan-pusaran-lengkungan garis-garis (cantingannya sedikit ala Ibrahim Hussein) lebih berupa agensi kreatif menyata racau-racau dalaman.

Setelah “neraka[nya] sakit penuh ngerang, lolong[nya] panjang yang malang”, Rahmat pelan-pelan mundur ke dalam demi mencari hal-hal yang lebih intim dan suci, yang tidak mudah disebat istilah-istilah ‘revolusionari’. Dicipta teks baru untuk menstabilkan halusinasi serta paranoia hasil keliarannya bercandu dengan hidup, menyalak realiti. Ditemui alternatif pada tompok-tompok dakwat, pada garis-garis diconteng berulang-ulang. Sedang keindahan verbal-audio sajaknya tampak radikal; keindahan visual-simbolik lukisannya cenderung konvensional. Gubahan yang organik, tidak konkrit, tidak sepenuhnya abstrak mengimbangi kenakalan formal-etikal puisinya. Meski imejnya nampak surreal, namun alegorinya mengisahkan ketrajisan hidup: utopia trauma. Wajah-wajah yang tersembul dari celah-celah jalinan mendokong perasaan dan perwatakan melankolianya. Gaya lukisannya turut menempias ide estetik tradisional Melayu: olahan motif-motif bunga, pucuk dan kudup mirip ukiran awan larat. Kalamnya yang menghitam kertas menonjolkan dunia surrealisme, sepertilah pisau wali pengukir menyobek kayu menjelmakan alam naturalisme.


“Seniku tiada apa-apa makna atau sebarang guna; cuma proses berahi memantul perasaan diri. Dakwat dan warna yang aku curah, simbah, leleh, atau conteng atas kertas hanyalah cara menjelmakan bentuk-bentuk dan merangka kisah-kisah tanpa disengajakan. Melukis itu latihan melayani ketagihan hidup; nikmat yang kualami ketika melakukannya seperti merasai balut terakhir ke syurga…ke lapang infiniti.” - Rahmat



Bagi mereka-mereka yang bertembung dengan Rahmat yang bertugas sebagai pemantau di Bukit Gantang nanti, bersyukurlah kerana kalian diketemukan dengan insan yang sangat aku sekeluarga hormat dan sayang!

Temuduga dengan Rahmat di media - http://www.sun2surf.com/article.cfm?id=28031

Comments

Pyanhabib said…
semoga rahmat sentiasa dirahmati!
(yang pertama lagi, isyyy...)
MeDiArTpAsSiOn said…
Apa kata kalau Rahmat perform kat pokok demokrasi, ikat rambut dia?
memang mulanya dia plan gitu..tapi plan B nya lebih menarik iaitu amik dna/ranting pokok dan pecah benih tanam di merata tempat..biar gen pohon demokrasi melata di seluruh perak. siapa pandai buat boleh le tolong.
rahmat haron said…
bukan idea aku ler..tapi itu idea yunos ali..aku cuma menyebar luaskan dan menggunakan idea itu untuk performance yang boleh dilakukan bersama oleh kita semua

kunjungi blog yunos ali:

http://uknowsanasini.blogspot.com/

Popular posts from this blog

Koleksi Saya #4

Sundal Malam

NARATIF SENI RUPA MALAYSIA