TAF - fun(d) raising
Wah. Pejam celik pejam celik dah dekat 3 minggu rupanya tak dikemaskini blog ini. Pantas sungguh masa melintas. Aku rasa malas pula menyambung siri kembara Jepun itu.. kerana ada perkara yang lebih utama yang mahu aku kongsi dengan pembaca.
Jumaat lalu, aku dan Kamal Sabran mengambil keputusan untuk meneruskan projek khas untuk teman kami Amirul Fakir, yang sedang diuji dengan sakit yang tidak dapat dikesan puncanya. Cadangan ini sudah lama dicetuskan Meor Yusof Aziddin, penyanyi folk yang sedang meletop itu, tapi oleh kerana ada sahaja aral yang melintang pukang..maka tertangguhlah ia. Kami memanggil projek ini ‘TAF Project’. Untuk yang ‘tough’ sahaja ☺
Amirul sudah menderita sejak April tahun lalu, hanya kira-kira dua minggu setelah pelancaran kumpulan cerpen pertamanya yang bertajuk Mea Culpa. Beliau kini menjalani rawatan secara tradisional setelah dicadang sendiri oleh pakar perubatan moden. Misteri ini hanya milikNya.
Bagi yang tidak mengenali Amirul, dia adalah seorang penyair dan penulis berbakat yang begitu intens corak karyanya. Sering menyokong acara-acara seni anjuran YKP dan selalu melepak dengan kawan-kawan yang datang dari latarbelakang seni yang berbeza – pelukis, pemuzik, pembikin filem..Jadi Amirul ini tidak hanya selesa bersidai dengan kelompok sastera semata-mata. Dan mungkin kerana itu juga, dalam masa hanya beberapa hari penganjuran projek ini, telah begitu banyak sokongan yang diterima dari handai taulan seniman.
Semoga penjanaan Tabung Amirul Fakir (TAF) ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung Amirul. Dan yang penting, inisiatif ini paling tidak dapat menyuntik semangat untuk beliau terus kuat menempuh dugaan ini. Sama-sama kita doakan supaya dia cepat kembali ke gelanggang kreatif, mampu bergiat aktif dan menulis lagi untuk seni dan budaya.
Setinggi-tinggi penghargaan untuk semua yang terlibat dari segi persembahan, penajaan, sumbangan tenaga dan sokongan moral untuk program ini. Hanya Allah swt yang dapat membalasnya.
Bagi anda yang ada kelapangan, jemputlah ke acara TAF. Sumbangan anda diperlukan.
Nota tambahan:
Pada semua pembaca muslimin yang berupaya pada dua malam Jumaat ini, mohon sedekahkan bacaan Yassin atau Al-Fatihah kepada Amiruddin Hussin aka Amirul Fakir supaya beliau segera sembuh dan semoga acara TAF Project berjalan lancar. TK.
Comments