Thursday, January 29, 2009

Special Report YANGON (Finale)






Ini entri terakhir aku tentang Myanmar le..saja je untuk rekod peribadi. Maaflah kiranya meleret-leret pulak kisah trip aku kali ni…

24 Januari 2009


Seawal jam 8 pagi aku dan Mel dibawa Ko Z ke sebuah countryside daerah Thanlyin untuk melihat satu lagi kuil popular yang terletak di tengah-tengah sungai Yangon. Kyaik Hmaw Wun Ye Lai Pagoda namanya. Sewaktu turun dari kereta kami diserbu makcik-makcik yang menjual macam-macam paraphernalia sembahyang dan popcorn. Popcorn? Nasib baik tidak aku sumbat ke dalam mulut, rupa-rupanya untuk diberi makan kepada beratus-ratus ikan patin gergasi yang berselirat mengerumuni tepian kuil. (Err..mungkin buat sementara waktu aku akan bergencatan ikan patin..)


Kami terpaksa menanggalkan selipar dan kasut masing-masing sebelum menyeberangi ke kawasan kuil. Aku yang sememangnya genyi berkaki ayam di tempat-tempat lembab dan berlumut terpaksa kuatkan semangat berjalan tanpa kasut berjalan sama-sama dengan anjing, kucing memijak segala macam rencah dan ludah di tanah. Yuck!

Kami berperahu dalam jarak 300 meter, berasak-asak dengan para pengikut Buddha yang ingin melunaskan hajat masing-masing. Airnya tidak menggiurkan langsung tapi bayunya agak nyaman dan segar.

Sebelum pulang, kami singgah di pasar dan akhirnya dapatlah aku membeli syampu tradisional dan tanaka (bedak) untuk cuba-cuba menambahkan nilai estetik pada wajah aku hehe.. Sememangnya secara visual, elemen budaya yang pertama menangkap perhatian aku di Myanmar adalah para wanita di jalanan menempel tanaka, iaitu sejenis bedak yang dibuat dari kulit pokok tanaka. Ianya berfungsi sebagai sunblock dan dipercayai menghalus dan mencantikkan kulit. Namun wanita-wanita moden sudah mula mengelak memakainya kerana sudah terpengaruh dengan kosmetik dari Barat.













Satu lagi pemandangan yang normal di sana ialah kaum lelaki memakai longyi (macam kain pelikat) tidak kira untuk urusan santai mahupun rasmi. Hari itu, aku terpesona melihat seorang mat metal dengan baju nan brutal yang dipadankan dengan kain longyi berjalan selamba rock di tengah kota. (Tersenyum aku sorang-sorang teringat satu adegan rocker kampung dalam filem Rock Mamat Khalid)


26 Januari 2009


Pulang ke sarang


KESIMPULAN PROGRAM

Secara keseluruhannya, seni kontemporari (dari sudut isme) di Myanmar masih belum berkembang oleh kerana kekangan-kekangan ekonomi serta undang-undangnya. Kebanyakan pelukis masih berfikiran dan berkarya modenis. Hanya segelintir yang sudah mula mencuba memecahkan tembok konvensional seni dan meneroka media serta pendekatan baru. Walaupun dihimpit keadaan yang serba kekurangan, aku tetap merasakan keikhlasan mereka. Malah, mereka merupakan host yang paling best dan penuh sopan melayan para pelukis jemputan setiap hari hingga mereka pulang ke negara masing-masing.

Bagi yang berminat untuk membantu rakan-rakan pelukis di Myanmar mendapat informasi seni, sila hantarkan bahan-bahan penerbitan/katalog anda kepada:

Mr Aye Ko
Program Director
New Zero Art Space
No. 54 (1-E), Bo Yar Nyunt Street, 1st Floor, Dagon Township, Yangon, Myanmar


Nota:
Projek ASEAN Contemporary Art Exchange di Yangon ini ditaja oleh Prince Claus Foundation. Siri kedua dicadangkan di Kuala Lumpur dua tahun lagi. Any takers?

Monday, January 26, 2009

Special Report YANGON (Part 2)



21 JANUARI 2009

Bertempat di New Zero Art Space, kami membuat pembentangan tentang seni dari negara masing-masing. Seperti biasa, aku akan membawa bahan penerbitan tempatan yang mana ada ekstra (itu pasal tak rugi bagi aku katalog lebih kawan-kawan oii hehe) sebagai ole-ole dari Malaysia untuk diletakkan di pusat sumber di situ. Aku tidak membentang tentang pelukis sohor dan mapan kita tetapi lebih kepada 'emerging artists' untuk memberi sedikit ide tentang seni terkini Malaysia. Antara pelukis yang aku sebut tentulah terdiri daripada kroni-kroni aku (haha..hanya Melissa yang tahu). Aku pecahkan pembentangan kepada empat kategori iaitu Basic History, Emerging Artists, Performance Art dan Outsiders. Lebih kurang ajelah penerangan kerana masa hanya 20 minit termasuk terjemahan pulak ke bahasa Myanmar.

Walaupun ruang seni ini lebih kurang macam Rumah YKP dengan peralatan dan tenaga yang paling asas, semangat mereka atas nama seni adalah sangat tinggi. Sekali-sekala tenaga elektrik akan putus dan kami terpaksa berehat sekejap sementara juruelektrik memasang generator. (Di Yangon, tenaga elektriknya sering dicatu)

Salut harus diberikan kepada Aye Ko dan gengnya kerana berupaya menarik perhatian ramai remaja dan profesional muda untuk membuat seni. Salah satu agenda beliau adalah untuk memberi alternatif kepada anak-anak muda berekspresi dengan kreatif daripada menghabiskan masa mabuk ketagih arak dan dadah.

Makan malam hari ini begitu penuh ceria dan gelak ketawa kerana akhirnya pada jam 9 malam, Aye Ko mendapat khabar bahawa pameran kami telah diluluskan pemerintah. Satu cabaran terlerai dah satu lagi halangan harus ditentangi. Pagi esok kami semua harus berhadapan dengan pihak censorboardlah pulakkk...

Kami menghabiskan makan malam dengan memikirkan bohong-bohong sunat untuk menerangkan tentang karya masing-masing agar tidak di'haram'kan. :)


22 JANUARI 2009

Jam 10 pagi lagi kami sudah standby di ruang pameran iaitu di Thamada Hotel. Pihak censorboard masih menunggu seorang pegawai militari berpangkat tinggi untuk mencukupkan korum. Sekitar jam 11 proses menyensor pun bermula. Terasa sebijik macam crit-session sewaktu sekolah dulu. Semua mata memandang kepada pelukis yang dengan bersungguh-sungguh menerangkan tentang konsep 'true lies' mereka hehe.. Aku juga terpaksa menukarkan konsep untuk seketika. Dari kisah politikal dan blood-bath terus jadi motherhood dan cerita-cerita personal seorang ibu. Pegawai wanitanya terus menunjuk simpati seolah begitu memahami dan kelompok itu pun berlalu pergi. Lega besar aku kerana begitu ramai yang target karya aku akan direjek oleh kerana simbol dan warna yang keras itu. Dari awal aku sudah haramkan Ko Z (pelukis Myanmar yang kelakar) berada di situ bila tiba giliranku untuk mengelakkan terburainya ketawa aku.


Inilah karya aku yang bertajuk BLOOD VESSELS tentang betapa kecil nilai darah manusia




Akhirnya lebih kurang empat buah karya ditolak. Semuanya hasil karya pelukis Myanmar.

Karya oleh Pyu


Karya oleh Nan Nan

Acara pembukaan berlangsung pada jam 4 petang. Aku tidak hadir kerana tidak sihat. Gatal meratah sirih yang dijual di tepi jalan sehari sebelumnya hingga muntah kaw-kaw pada hari ini. Aku hanya singgah sebentar di penghujung majlis. Walaubagaimana pun di sebelah paginya tivi Myanmar ada interview Melissa. Aku sangat gembira dia dapat merasai detik-detik glam menjadi artist haha

Dinh Quang Le dari Vietnam
Aye Ko, pelukis veteran Aung Myint dan Pyu yang karyanya ditolak censorboard
Karya Mella Jaarsma dari Indonesia
Bersama pelukis Myanmar Thar Gyi
AYE KO di samping karya beliau 'Silent Escape'

Sunday, January 25, 2009

Special Report YANGON (Part 1)

Akhirnya aku berkesempatan untuk melayan blog ini.. Selain laluan internet yang agak lembab di Yangon, alasan lainnya adalah aku terlalu sibuk dengan atucara yang telah disediakan oleh penganjur iaitu New Zero Art Space. Aye Ko, pengasas ruang ini pernah aku temui sewaktu pameran kumpulan kami di Berlin dan Chiangmai melalui Heinreich Boll Foundation beberapa tahun lalu. Di sini, dia dan dua orang pelukis Myanmar iaitu Ko Jue dan Ko Z terlalu baik dan sudah pun aku dan Mel anggap macam adik-beradik. Aku akan mulakan cerita mengikut hari pertama supaya ada naratiflah sikit perjalanan aku kali ini.

19 JANUARI 2009

Disambut Ko Jue dan Suzie di lapangan terbang Yangon yang agak classy walau tak secanggih KLIA. Check in di Hotel Panorama di Pansodan Street. First impression pada aku, kota ini ala-ala Saigon tapi tidak seteruk Dhaka. Penduduk Yangon tidak boleh memiliki motosikal kerana dilarang pemerintah. Aku rasa ada rasionalnya, jika tidak akan jadi kota motosikal macam di HoChinMinh (Saigon). Kacau bilau jalanraya dibuatnya! Jadi di Yangon hanya pegawai-pegawai kerajaan saja yang boleh ada motosikal.


Beberapa pelukis seperti Mella & Nindityo (Indonesia), Ronaldo & Mannet (Filipina) dan Kai Lam (Singapura) sudah pun sampai awal. Kami dibawa ke sebuah taman bernama Seinn Lann So Pyay Garden (untuk apa aku sendiri kurang pasti). Tapi mungkin sekadar untuk sessi ‘ice-breaking’ di samping mencuci mata kerana di sini adalah port untuk anak-anak muda berdating hehe..

Malamnya ada ‘welcome dinner’ dan yamseng untuk meraikan kedatangan seniman-seniman dari luar negara. Kami berkenal-kenalan dan bertukar informasi, berfoto-fotoan dan berbla-bla-bla an hingga lewat malam












20 JANUARI 2009

Hari ini tetamu dibawa bersiar-siar. Pada mulanya aku rasa agak pelik kerana sepanjang pengalaman aku di lain negara, selalunya acara makan angin dilakukan setelah pameran dan bengkel selesai.Program seni yang sepatutnya berlangsung pada hari ini ditunda kerana penganjur masih menunggu permit. Leceh..leceh..

Jadi hari ini kami ke Shwedagon Pagoda dan Muzium Nasional Yangon. Dapatlah sedikit gambaran tentang budaya dan sejarah mereka. Pagoda di sini besar yang amat. Aku sempat merakam detik para pemuja menempah plet emas asli yang dituris nama mereka dengan warna merah. Plet ini kemudian diusung dengan sebuah buaian (yang agak gedik gitu)menuju ke menara pagoda utama. Plet itu nanti akan diabadikan di situ sebagai sumbangan (ataupun korban) pengikut yang ada nazar tertentu. Semasa buaian bergerak, mereka berzikir 'paa ruu paa ruu'.


Sepertimana di lain-lain kuil nusantara, aku mengambil kesempatan melihat elemen seni yang ada pada senibinanya sebagai perbandingan dengan landskap kita. Ukiran kayu mereka cantik juga tapi tak seindah dan sehalus ukiran di Terengganu. Di sini patung-patung Buddhanya dihias dengan halo lampu berkelip warna-warni. Sangat psikedelik. Aku dan Mel dua-dua cakap "cooool.."




Monday, January 19, 2009

Kembara Burma



NHK Blood Vessel, 2009

Sejam lagi berangkatlah aku buat pertama kalinya ke Yangon, Myanmar untuk menghadiri program ASEAN Contemporary Art Exchange anjuran Zero Art Space. Aku bawa Melissa Lin, pelukis muda yang baru hendak mengepak sayapnya untuk beri dia exposure. Kebetulan setelah itu, dia juga ditawar untuk menjalani residensi di House of Matahati. Jadi tepatlah pilihan aku.

Kami membawa karya sendiri untuk mengelak tersadai di imigresen. Cabaran pertama untuk dapatkan visa telah kami lepas. Harap2 di sana nanti dipermudahkanlah perjalanan.

Wednesday, January 7, 2009

TUDUNG-TUDUNG


TUDUNG-TUDUNG
Instalasi Video
Dimensi pelbagai
2007













Karya ini menggunakan tiga projeksi video. Di bahagian latar, dua dinding menunjukkan wajah aku yang tidak henti bercakap dan kelihatan teks-teks Jawi berlegar secara random di hadapan mulut seolah membisukan segala laungan. Sekujur tubuh dengan skirt ala tari sufi dipancar dengan imej bendera dari negara-negara OIC.

Ini sekadar respons aku terhadap kegiatan pembisuan serta menudung suara-suara dan rintihan Muslim secara universal. Aku tak berupaya mengangkat senjata perang. Ini saja senjata yang aku ada..

Karya ini pernah dipamerkan di Galeri Petronas dan Malmo Art Museum, Sweden. Sekarang aku sedang berunding untuk mempamerkannya di Korea Insyaallah. Takbir!

(Terima kasih sdr Kamal Sabran kerana membantu menyempurnakan video untuk karya ini)

Text by Shireen Naziree, curator of Out of The Mould: The Age of Reason exhibition:

As political incursion increasingly polarizes the Islamic world and its obscurant forces play out their agenda – art expressions within the Islamic context have been invested with new meaning. Nur Hanim Khairuddin in her video installation presentation Tudung Tudung redefines conventions that banish the figure, which she marries through form and film. Her close links with the ritual forms of textiles, which have been part of her early oeuvre, echo the deep significance with her own Malay heritage and punctuate the rhythm of life on so many different levels. However Tudung Tudung is wrapped in a much deeper meaning. Malaysia is currently holding the Secretariat of the OIC and has been applauded as a role model as a peaceful Islamic society. But the question that Nur Hanim asks – Is Anyone Listening?

(Extracted from Out of The Mould: The Age of Reason exhibition catalogue, 2007)

Allahuakbar!

DOA QUNUT NAZILAH UNTUK PALESTIN (dirampok dari blog si mat indie Jay Freelove)

اللهم ﺇنانجعلك في نحور أعدائنا ونعوذبك من شرورهم
اللهم بدد شملهم وفرق جمعهم وستت كلمتهم وزلزل أقدامهم
وسلط عليهم كلبا من كلابك يا قهار يا جبار يا منتقم
ياالله ياالله ياالله
اللهم يا منزل الكتاب ويا مجري السحاب ويا هازم الاحزاب
ﺇهزمهم ﺇهزمهم ﺇهزمه
وانصرنا عليهم

Ya Allah,
Sesungguhnya kami meletakkan Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami
Dan kami berlindung dengan Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka

Ya Allah,
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka
Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka
Goncangkan pendirian mereka
Dan hantarkanlah anjing-anjing Mu kepada mereka
Wahai Tuhan yang gagah perkasa Wahai Tuhan yang penuh raksasa
Wahai Tuhan yang bersifat murka

Ya Allah Ya Allah Ya Allah Ya Allah,
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Al-Ahzab
Kalahkan mereka kalahkan mereka
Kalahkan mereka dan menangkan kami ke atas mereka.

Bebaskan Palestin!

Friday, January 2, 2009

Rezeki Tahun Baru

Hari ini kami sekeluarga menyambut 1 Januari dengan makan-makan saje. Tengahari kari kaw ikan bawal dan ulam-ulaman dari edible gardenku..ehem














Malamnya aku dan anak-anak belajar buat sushi dengan chef Ise :)








Disudahi dengan dessert aiskrem tradisional hehe




Burrp..Alhamdulillah