Friday, November 28, 2008

Touristic Expedition



















26 November 2008 - Aku hanya di sekitar bandar Copenhagen. Masuk keluar galeri dan jadi tourist. Sessi interbiu diatur Amir pada waktu malam. Siangnya sempatlah lihat arca Duyung yang glam itu. Tak tahulah apa specialnya. Aku dengar kepala arca itu sudah diganti beberapa kali kerana sering dipancung oleh penduduk di situ dahulu. Kemudian jalan ke kawasan istana dan memang rezeki pelancong lah, sempat pula rakam adegan 'changing of the guards'. Bersama-sama mak dan pak arab, minah dan mamat Jepun, kami semua tak berhenti mengklik kamera masing-masing untuk foto-foto kenangan. Apalah nasib buruk, kamera aku pulak jam dan terpaksa pakai still videocam yang tak berapa cantik..Nasib baik adik ada kamera lain. Nanti aku letak gambar yang lain tu kemudian.

Sebelum itu, aku singgah di gereja marmar dan duduk bersolat jamak zohor dan asar di celah barisan kerusi panjang. Biasalah dah jadi musafir ni, kena pandai-pandailah adjust apatah lagi waktu solat yang terlalu rapat di sini. Beberapa orang memerhati aku yang sedang mendongak menghayati lukisan yang begitu menakjubkan di siling gereja sambil mulut terkumat kamit.Tafakur aku terganggu la pulak dengan bunyi organ yang sumbang dan begitu tak rock sekali..

Malamnya aku ke galeri Arken. Wah! Dapatlah tengok beberapa karya Damien Hirst, Bill Viola koleksi tetap mereka selain karya-karya Max Ernst, Rauchenberg, Dali dll. Paling berharga adalah kesempatan menyaksikan pameran lebih 300 keping etching (kebanyakan erotik dan sensual) Picasso yang dipinjamkan Muzium Seni Israel).

Pulang ke rumah Amir, aku teruskan sessi interbiu dengan anak Melayu yang sudah 40 tahun tinggal di sini bernama Encik Ismail yang begitu seronok berkongsi macam-macam cerita.

Wednesday, November 26, 2008

Aros di Arhus













Hari ini (25 Nov) aku ke Aros art museum di Arhus. Naik keretapi lebih kurang 3 jam untuk menemuramah dua orang penulis yang fokus mereka tentang isu-isu imigran dan Islamophobia. Malene Grondahl dan Carsten Fenger adalah suami isteri yang sebelum insiden 9/11 sudah mula meneroka topik yang berkisar dengan Islamophobia dalam konteks Denmark.

Sebelum waktu temuramah, sempatlah aku menjenguk pameran dan begitu seronok dapat berposing di karya Ron Mueck yang sohor itu. Selain itu, ruang paling bawah muzium ini diisi dengan karya-karya video dan new media. Buat pertama kali aku berupaya menyedut sedikit aura dari karya instalasi video Bill Viola...

Penat.Sejuk.Homesick..tapi kerja mesti diteruskan. Masih ada beberapa lagi seniman dan aktivis yang harus aku temui untuk sempurnakan eksperimen aku ini.

Monday, November 24, 2008

Copenhagen








Aku tiba di Copenhagen malam 22 November disambut oleh pelukis Amir Zainorin yang menetap di sini. Adik aku yang belajar di Aberdeen pun tiba lebih kurang waktu yang sama. Sudah lebih setahun tak jumpa secara fizikal, cuma online saja. Jadi kami sudah rancang lebih awal untuk bertemu kerana Aberdeen cuma sejam lebih saja dari sini.

Sebenarnya kedatangan aku di Denmark ini punya agenda sendiri. Sementelah sudah ke Germany tempohari, aku terus ambil peluang singgah untuk lakukan sedikit kajian dan menghimpun data. Tahun lepas secara tiba-tiba nama aku tersenarai sebagai antara kurator yang menerima geran dari American Centre Foundation. Geran ini tidak boleh dipohon. Hanya melalui rekomendasi yang mana hingga kini aku masih belum tahu siapa pencadangnya. Mungkin melalui kenalan-kenalan kurator dan seniman dari luar. Alhamdulillah. Orang dah nak bagi, kita pakai ajelah. Aku terima kerana mereka tidak ada campurtangan dalam pengkajian ini.

Jadi, topik yang masih berlegar-legar dalam kepala mungkin berbunyi begini "The State of Muslim Artists in Denmark". Tetapi setelah menemuramah subject matter pertama semalam, mungkin topik nya akan lebih menjurus kepada 'diasporic artists' yang bermaksud seniman yang datang dari luar dan berkarya di sini. Pada asalnya aku berminat dan 'curious' ingin tahu tentang layanan dan keberadaan seniman Muslim di sini lebih-lebih lagi pasca kartun Muhammad oleh kartunis akhbar Jyllan posten dan seumpamanya.

Semalam Amir mempertemukan aku dengan seorang seniman dan aktivis Khaled Ramadhan (tersenarai sebagai artist nombor 4300 seantero dunia)yang telah bermastautin di sini lebih 20 tahun. Beliau yang lahir di Lebanon kini pensyarah di Copenhagen University dan banyak curate projek-projek alternatif yang mengetengahkan isu-isu semasa. Khaled tidak percaya tentang 'art' sebagai satu wahana untuk kepuasan estetik semata. Seniman kontemporari mesti ada satu lagi level katanya iaitu menjadi media yang memantulkan 'sesuatu' kepada masyarakat. Diskusi kami dalam rakaman video lebih kurang satu setengah jam. Yang santai-santai dan off the record mungkin lagi sejam. Terlalu banyak perkara yang beliau sentuh semalam. Dari seni sampai makanan eksotik di China (dia dalam tim kuratorial Guangzhou Trinale) hinggalah ke isu politik dan peperangan angkara rejim Yahudi. Fuh! Aku yang separuh beku dek kerana cuaca sejuk yang amat di sini terus dihangatkan dengan isu-isu yang dilontarnya.

Hari ini aku baru nak jenguk bandar Copenhagen. Tengok-tengok muzium dan apa-apa yang patut. Dalam dua tiga hari ini Amir akan jumpakan lagi dengan 'mangsa-mangsa' aku. Tak tahulah rumusan apa yang bakal aku buat di akhir kajian pendek ini nanti.

Saturday, November 22, 2008

Centre for Art & Media, Karlsruhe











Terpegun aku menatap bangunan Centre for Art & Media di Karlsruhe, sebuah bandar kecil kira-kira sejam dari Stuttgart. Lebih dikenali sebagai ZKM (Zentrum fur Kunst und Medientechnologie). Bekas kilang ini dijadikan pusat seni dan media pada tahun 1997 dan mendapat sokongan pemerintah. Masuk ke ruang pameran, mulut aku ternganga agak luas bila melihat sebiji hot air baloon dipancar dengan imej. Skala pameran sebegini sudah capai tahap bienale-bienale mega aku fikir, tapi bagi ZKM ini merupakan pameran biasa. Waduh..

Dr Andrea Buddensieg, pengurus projek (serta isteri kepada Hans Belting rupanya)memberi layanan begitu mesra. Beliau menghabiskan kira-kira 3jam menerangkan satu persatu karya new media yang memenuhi setiap tingkat galeri. Tak pernah aku melihat begitu banyak display karya-karya new media dalam satu masa. Pertembungan sains, matematik dan seni begitu kuat dalam setiap karya yang kebanyakannya berbentuk interaktif. Malaysia memang ketinggalan jauh ke belakang dalam bidang ini kerana seni sebegini memerlukan maintanence yang tinggi serta peralatan hi-tech yang kosnya tidak masuk akal.

Masuk jam ketiga aku dah mula rasa mual pula melihat karya-karya video yang terlalu banyak. Memang kalau nak menghayati sepenuhnya perlu allocate sekurang-kurangnya satu hari suntuk. Tapi aku cukup bersyukur sekurang-kurangnya diberi peluang mengenali sebuah institusi penting ini.

Aku di sini berjalan kaki rasanya jarak sudah macam dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim. Biasalah di tempat orang, kalau di tempat sendiri jarak sedepa pun nak berkereta! Hari ini setelah 20 tahun, aku menjilat salji halus yang singgah di wajah..

Friday, November 21, 2008

Konferenz



21 November 2008,1.00 am
Stuttgart, Germany

Hari ini aku sudah boleh menarik nafas lega kerana selesailah sudah tugas aku membuat pembentangan di Galeri IFA. Rasanya ini pengalaman public speaking yang paling menggabrahkan. Apa taknya, kesemua penceramah bukan calang-calang. Semuanya orang-orang berpengaruh dalam dunia seni antarabangsa. Aku buat joke softcore, beritahu pada audiens, “today I am terribly nervous because in this auditorium there seems to be too many doctors, professors and important figures in the international art scene”. Nasib baik le dema gelak. Aku diminta bercakap tentang topik “Mainstream or Underground – Cultural Self-representation for which Public?” Aku pun sentuhlah tentang etika DIY, tentang geng punk, budak muzik underground serta ruang-ruang alternatif yang tumbuh bagai cendawan sekitar awal 2000 yang menyumbang kepada desakan nafsu untuk hasilkan zine sendiri.

Profesor Emeritus Dr Hans Belting, pengkritik seni tahap dewa dan ditakuti ramai, bercakap tentang perbezaan ‘global art’ dengan ‘world art’, ‘global art’ vs ‘universal art’. MOMA yang sudah tak releven dan diganti MOCA. Beberapa perdebatan yang intens timbul selesai pembentangan Prof. Dr. Till Forster, seorang etnologis di University of Basel & Direktor di Centre for African Studies. Ramai yang mempertikaikan tentang daerah etnik dicemari dengan pengaruh Barat yang menunda perjalanan seniman samaada untuk pergi ke peringkat antarabangsa mahupun tidak. Aku sendiri selalu merasakan wacana tentang identiti atau etnik sesebuah entiti sering dijalankan di Barat. Jadi apa-apa rujukan pun akhirnya kita perlu ke Barat jugalah?

Esok aku akan ke Centre for Art and Media (ZKM) di Karlsruhe (naik keretapi satu jam) untuk check-out ruang tersebut. Terkejut tiba-tiba diundang secara peribadi oleh pembantu Dr Hans Belting, Dr Andrea Buddensieg (pengurus projek di situ). Baru sebentar tadi, dia sudah email jadual perjalanan keretapi. Nanti aku rekilah apa-apa projek yang boleh memanfaatkan seni kita.

Thursday, November 20, 2008

Kembara Stuttgart

20 November 2008, 9.00am
Stuttgart, Germany







Perjalanan yang begitu baik tiba-tiba dicemari satu insiden di lapangan terbang Amsterdam. Entah mengapa aku ditahan dan diinterogate imigresen pula. Dalam hati timbul macam-macam telahan. Depa takut aku nak jual dadah ke (ramai wanita Malaysia buat kerja ni bukan) atau suicide bomber ke.. (yelah simbol tudung itu terlalu kuat dan menakutkan mungkin). Aku ditanya tentang destinasi seterusnya iaitu ke Denmark. Tinggal di mana. Jumpa siapa. Duit bawak banyak mana. Aku diminta buka laptop di kaunter untuk check emel mengesahkan adanya pihak yang menunggu di sana. Tak pernah aku nampak di kaunter cop paspot orang buka laptop. Bengang. Sarkasme aku pada pegawai tersebut akhirnya menyeret aku ke pejabat imigresen pula. Dia telefon Amir Zainorin, pelukis di Denmark yang bakal aku temui pada 22 November nanti. Setelah puas hati (ataupun tak puas hati), aku dilepaskan. Selepas itu, dia tanya apa yang aku catitkan di sekeping kertas. Aku cakap, aku ni artist beb, nanti akan aku masukkan nama dia dalam karya atau video aku. Aku ambil paspot, hulur salam dan senyum sambil berkata “thanks so much for the nice experience”. Dia terkebil-kebil malu…


Sampai di Hotel Kronen, Stuttgart jam 11 pagi, aku tidur 2 jam. Selepas Maghrib jam 4.40 petang, terus jalan ke kawasan Schlossplatz kira-kira 10 minit dari hotel. Sejuk sampai mencucuk tulang dan nak bercakap pun rahang terasa macam jam. Sempat singgah di Kunstmuseum Stuttgart. Bayar 8Euro untuk jenguk pameran oleh Christian Jankowski. Dasyat juga artist ni. Karyanya rata-rata instalasi video yang banyak menyentuh isu-isu sekitar kesenian yang diolah dengan penuh satira. Aku tidak ke ruang koleksi tetap kerana sudah melihat semasa lawatan dua tahun dulu. Esok, akan cuba melihat pameran khas Henri Mattise di sebuah lagi galeri.

Sebelum pulang, aku singgah sebentar di open ice-skating ring di tengah-tengah taman dan menyaksikan seorang nenek tua yang terror skating dengan senyuman paling bahagia. Bestnyee..




Tuesday, November 18, 2008

MATI

Sejam lagi insyaallah aku sudah berada di awan biru..20hb harus bagi ceramah pula di Institute of Foreign Culture (IFA) di Stuttgart, Jerman. Ada kesempatan nanti kan ku cerita panjang lah..

Semalam jantungku bagai disentap dalam tempoh dua minit. Seorang hamba telah memberi khabar tentang kematian satu orang kuat senirupa. Aku telefon Kak Normah yang bercerita sampai aku tak jadi sedih malah terbahak-bahak pula gelihati.. Kata dia, bila dapat berhubung dengan si 'mati' dan beritahu tentang berita yang sudah kecoh itu, si 'mati' menjawab "ko biar betul.." dengan gaya ala-ala manja gitu..hahaha

Apa2 pun sori lah encik mediartpassion yang telah disentak dengan soalan sakratul maut tengahari semalam hehe..

Friday, November 14, 2008

Koleksi Saya #9


ILHAM FADHLI
"The Party"
Acrylic on canvas
122cm x 168cm
2007





Ilham Fadhli atau lebih dikenali dengan gelaran 'Kojek' merupakan seorang painter yang tekun. Penggunaan collage imej figura miniatur menjadi identiti dalam karya terkininya yang seringkali dihiasi dengan ambience gotik dan surreal. Namun di dalam karya yang aku beli dari studionya tahun lepas (waktu itu aku curate 2man show nya bersama seorang lagi pelukis, Haslin Ismail bertajuk 'Friction') 'signature' tersebut masih belum timbul lagi.

Aku menyesal kerana tidak mengambil karya ini secepat mungkin dari stor simpanan sebuah galeri. Bila ianya sampai di pintu rumah beberapa hari lalu, bau hapak menusuk masuk. Di bahagian belakang aku dapati seolah-olah ada tompokan kulapok atau fungus. Amer pakar konservasi cadang guna bahan ethanol dan jemur lukisan itu di tempat redup. Aku jumpa bahan ini dalam kumuran Listerine. Secara logik, harap2 ia tak akan merosakkan permukaan lukisan sementelah sifatnya yang tidak abrasive kepada mulut. Aku tunggu beberapa minggu lagi, kalau problem... ke Makmal Seni Sakit di Balai lah jawabnya!

Wednesday, November 12, 2008

Cabaran Seorang Guru



Seorang teman emel lampiran ini pagi tadi. Kertas karangan oleh murid salah sebuah sekolah di Melaka. Lahaulawala...tension jadi cikgu rupanya hehehe berdarah otak!!

Kajian Semiotik 1



November 2008

Saturday, November 8, 2008

Lady Fingers by lady's fingers


Arwah abah (seorang graduan agriculture)semasa awal perkahwinan memang suka berkebun di rumah. Aku boleh ingat scene pokok tomato, cili, sayuran dan batas di sekeliling rumah kami di Jalan Petri, JB sekitar usiaku 3-5 tahun. Bila dah memangku tugas yang banyak sebagai orang kuat pendidikan, beliau terpaksa lupakan hobi tersebut. Sejak itu kami menjadi konsumer tegar sayur-sayuran pasar mari.

Aku pun bila dah tua-tua ni baru terpanggil nak berkebun. Tak sangka pula aku ada 'jemari hijau'. Hari ini aku akan goreng bendi dan terung pipit dari edible gardenku yang comel itu. Lagi dua minggu harap-harap tomato berputik. Terung panjang masih kontot. Semua disemai pada waktu sama kira-kira dua bulan lalu, tapi bendi nampaknya lebih cepat memberi hasil.

Entah apa mimpi aku uplod hal kacang bendi pula hari ini..*chief betul..

*hanya U-Wei & the geng mengenal manikam..:)

Wednesday, November 5, 2008

Mengunyah seribu alasan



Petang ini aku mula membaca katalog-katalog seni yang dikirim teman-teman kurator dari Indonesia melalui Ise (sambil mendengar lagu2 Seringai dari album Serigala Militia yg aku cetakrompak darinya hehe). Imbas sekali lalu, aku tahu penulisan mereka serius, bukan sekadar reportage acara seni macam yang berlambak dicetak untuk pameran-pameran lokal di sini. Itu kelebihan dunia seni rupa Indonesia. Pembicaraan yang dalam, rujukan yang luas dan terkini, perdebatan yang intense dan segar antara seniman merentas genre dan latarbelakang. Tak tahulah apa nak jadi dengan komuniti pelukis kita yang nampaknya lebih senang memikir cara-cara bagaimana nak mengembongkan kantung masing-masing semata. Boleh cari makan, tapi seimbangkanlah dengan makanan ilmu. Tiada lagi alasan kalau kita mahu lebih dihormati.

Selain itu aku agak bangga sebab diberi kalendar 2009 yang diedar sewaktu pelancaran Nam June Paik Art Centre di Seoul baru-baru ini.(Nam June Paik adalah bapa segala video art). Ise yang tak lekat di tanahair (macam tabligh la pulak)claim, kami berdua je yang mungkin ada kalendar ini di Malaysia. Haha..sebijik macam Budak Kelantan - "demo Amerika!!" ;)